Formula 1: Hamilton penyelamat Mercedes
PEMANDU sensasi Mercedes, Lewis Hamilton dianggap sebagai penyelamat pasukannya pada perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Monaco yang berlangsung penuh dramatik semalam.
Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata, sejak awal lagi beliau meramalkan Mercedes akan tewas pada saingan di litar jalan raya Mote Carlo itu yang dianggapnya sebagai litar paling sukar musim ini.
Menurut Wolff, meskipun berdepan dengan masalah pada tayar, Hamilton masih berjaya melakukan pemanduan luar biasa dan berupaya mengekang kemaraan pemandu Red Bull, Max Verstappen untuk memintasnya pada suatu ketika.
"Kami telah membuat kesilapan ketika memilih tayar jenis medium kerana menyangka ia mampu kekal sampai penamat perlumbaan dan ternyata ia tidak berlaku.
"Bagaimanapun, muncul seseorang bernama Hamilton yang berjaya menyelamatkan kami. Cara pemanduannya nyata membantu kami menjuarai perlumbaan sekali lagi.
"Walaupun cuba dipintas Verstappen (yang berada di tempat kedua ketika itu), Hamilton layak mendapat pujian kerana dia berjaya memenangi perlumbaan ini dalam keadaan yang serba kekurangan," katanya.
Di sebalik kegembiraan itu, Wolff mengakui pasukannya agak bertuah kerana sehingga saat ini masih mampu mengekalkan rekod kemenangan bersih musim ini.
"Kami hampir tewas hari ini (semalam) selepas memikirkan apa yang berlaku. Kami perlu banyak belajar daripada kesilapan yang hampir meragut kemenangan ini.
"Walaupun gembira, kami perlu mengakui hakikat bahawa kami hanya bernasib baik untuk memenangi perlumbaan di Monaco ini," ujarnya lagi.
Tempat kedua menjadi milik pemandu Ferrari, Sebastian Vettel sementara rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas berada di kedudukan ketiga.
Malang buat Verstappen yang sepatutnya menduduki tempat kedua di belakang Hamilton terlepas peluang berada di podium apabila dikenakan penalti lima saat.
Ia ekoran insiden dia melanggar bahagian belakang jentera Bottas ketika keluar dari pit stop, sekali gus menyaksikan pemandu Belanda itu mengakhiri saingan GP Monaco di tempat keempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!