Anggota polis ugut ibu guna pisau, tukul besi
-
KOTA TINGGI - Seorang anggota polis ditahan Jumaat lalu selepas dipercayai mengugut ibunya dengan senjata pisau dan tukul besi dalam kejadian di Felda Semenchu di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, suspek berusia 29 tahun bertugas di Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan ditahan selepas abangnya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
"Polis menerima aduan pada jam 12.20 pagi dari abang suspek yang memberitahu adiknya yang merupakan seorang anggota polis telah mengugut emaknya dengan senjata pisau dan tukul besi.
"Suspek turut menakutkan dengan api, serta meminta duit dari emaknya. Pengadu merasakan keadaan emaknya terancam dan tidak selamat lalu membuat laporan polis.
"Susulan itu pada hari yang sama jam 2.30 pagi, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Teluk Sengat yang diketuai penolong ketua balai polis bersama anggota telah pergi ke tempat kejadian.
"Suspek berjaya ditahan serta turut dirampas barang kes iaitu sebilah pisau dan satu tukul besi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, suspek berkhidmat di bahagian tugas am dan telah memulakan kerja sebagai anggota polis sejak tahun 2012.
Jelasnya, suspek yang sudah bercerai mempunyai dua orang itu turut mempunyai rekod lampau di bawah akta 15(1)(a) APD. 1952.
"Suspek kini ditahan reman mulai 24 hingga 30 Mei ini dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!