Kuala Lumpur berjaya keluar dari zon penyingkiran Liga Super
PENYERANG Kuala Lumpur, Guilherme de Paula menjadi penyelamat dalam membantu Kuala Lumpur keluar dari zon penyingkiran Liga Super apabila meledak hatrik dalam kemenangan 4-1 ke atas PKNP FC di Stadium KLFA Cheras semalam.
Bagi De Paula, kemenangan itu sangat bermakna sebelum saingan liga berehat selama tiga minggu kerana ia memberikan motivasi tambahan kepada pasukannya untuk terus bersaing dalam usaha untuk kekal di Liga Super musim depan.
Beliau turut memberi kredit kepada rakan sepasukannya yang menunjukkan mentaliti luar biasa untuk membantu pasukan membalas dendam kekalahan 0-4 kepada pasukan sama di Manjung sebelum ini.
"Seperti anda tahu, perlawanan ini sangat penting untuk kami yang sedang bertarung untuk keluar dari zon penyingkiran. Kami sedar betapa pentingnya kemenangan malam ini (semalam).
"Oleh sebab itu, kami memberikan tumpuan penuh dan tidak memberikan peluang untuk pasukan lawan bangkit. Dengan komitmen semua, kami berjaya mendapatkan tiga mata dan keluar daripada zon penyingkiran.
"Walaupun menjaringkan hatrik, kemenangan ini bukan hanya datang daripada saya. Tetapi ia hasil bantuan rakan-rakan. Tanpa mereka saya tidak mampu melakukan seperti malam ini dan semua gol ini saya dedikasikan untuk mereka," katanya.
Selain De Paula, Paulo Josue turut berada dalam senarai penjaring skuad The Hawks dalam perlawanan itu, manakala gol sagu hati PKNP FC dijaringkan oleh Giancarlo.
Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt mengakui beliau sama sekali tidak menyangka pasukannya mampu mencatat kemenangan besar seperti malam ini.
"Saya terkejut dengan jaringan kerana sebelum ini kami keputusan yang kami peroleh biasanya hanya berbeza sedikit sahaja.
"Jadi, ini adalah hadiah terbaik daripada pemain sebelum berehat daripada saingan liga. Selepas bekerja keras untuk kemenangan ini, sekarang saya mahukan pemain untuk berehat dan menikmati waktu cuti ini sebelum kembali berjuang selepas raya nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!