Program Iftar Perdana AMK tidak terpesong

LUQMAN ZAINAL ABIDIN
LUQMAN ZAINAL ABIDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjur Iftar Perdana Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mendakwa program berkenaan tidak terpesong daripada ajaran Islam mahu pun budaya tradisi Melayu.

Ketua sekreteriat program berkenaan, Luqman Zainal Abidin berkata, presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak mendapat maklumat lengkap dan komprehensif daripada pimpinan yang tidak bertanggungjawab berhubung pelaksanaan program tersebut.

Dia berkata, pihaknya merasa kesal kerana terdapat pelbagai langkah diambil untuk meremehkan usaha aktivis muda di saat AMK dibelenggu dengan isu kepimpinan lemah dan tidak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun, kami menerima semua teguran dengan hati yang terbuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, program itu telah disertai oleh lebih 62 orang ketua AMK cabang dan 500 orang anggota dari seluruh negara.

Namun begitu, penganjuran tersebut dilihat mendapat perhatian daripada presiden parti apabila dia memaklumkan telah menerima bantahan daripada pihak tertentu yang mengatakan program tersebut disambut dengan lagu serta bunga api.

Malah, Anwar turut memohon maaf berhubung tindakan pemuda parti itu yang mengadakan program berbuka puasa seperti sebuah pesta.

Mengulas mengenai perjalanan program berkenaan, Luqman berkata, sebelum berbuka puasa, hadirin telah bersama-sama berzikir dengan dipimpin oleh Fasilitator Markas Latihan AMK Malaysia, Khairi Md Nor.

Artikel Berkaitan:

Luqman berkata, selepas berbuka, semua peserta program solat secara berjemaah di Surau Markas Latihan AMK Malaysia dan kemudiannya menikmati jamuan malam malam sambil diperdengarkan takzirah Ramadan.

"Peserta kemudiannya solat Isyak berjemaah dan melakukan rakaman takbir Aidilfitri serta berselawat.

"Selepas tarawih, kami melakukan aktiviti santai moreh dengan persembahan lagu kerohanian dab lagu klasik Aidilfitri oleh band KGB.

"Berdasarkan perincian ini, kami yakin tidak sama sekali terpesong namun kami terima teguran ini," katanya.

Tambahnya, pihaknya menyeru semua anggota AMK mengambil teguran ini secara positif dan berusaha dengan lebih gigih bagi menjayakan program untuk memperkukuhkan ukhuwah di kalangan ahli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!