Zakri Ibrahim mohon maaf kepada Yakeb
BEKAS juara silat dunia, Zakri Ibrahim memohon maaf kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) atas dakwaan yang dibuat isterinya sebelum ini.
Khamis lepas, Berita Harian melaporkan isteri kepada bekas atlet negara itu, Noraswana Ahmad meluahkan rasa kecewa sambil mendakwa Yakeb tidak ambil kisah terhadap permohonannya mendapatkan surat jaminan (GL) buat Zakri.
"Saya memohon maaf kepada Yakeb di atas salah faham yang berlaku di mana isteri saya tidak faham mengenai polisi Yakeb. Saya tahu Yakeb memang sentiasa ambil berat terhadap kebajikan bekas atlet dan ketika saya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Yakeb merupakan yang pertama datang melawat.
"Ketika itu saya tidak sedarkan diri, saya tidak tahu. Maafkan saya. Isteri tertekan ketika itu, dia tidak tahu polisi sebenar Yakeb. Yakeb sentiasa mengambil berat kepada bekas atlet negara dan kenyataan sebelum ini memang tidak benar," katanya kepada media ketika ditemui di Hospital KPJ Kajang.
Untuk rekod, Zakri terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal pagi 4 Mei di Serdang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Semenyih. Beliau difahamkan dilanggar kereta dari belakang ketika menunggang motosikal.
Zakri dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan dan disebabkan kejadian itu, beliau patah tangan kiri dan kaki kanan serta melecet di seluruh bahagian belakang dan dirawat di ICU selama tiga hari di Hospital Serdang.
"Saya di sini (KPJ Kajang) diberi tawaran untuk melakukan 'dressing' bagi patah yang dialami. Yakeb beri kemudahan untuk saya lakukan rawatan disini untuk memudahkan saya untuk tidak perlu menunggu lama. Selepas ini saya akan dirujuk kepada Hospital Serdang kembali kerana rekod lebih terperinci," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata pihaknya akan menyalurkan sumbangan dengan mengeluarkan surat jaminan (GL) kepada Zakri untuk gunakan di Hospital KPJ Kajang bagi melakukan rawatan ‘dressing’.
"Yakeb ialah badan kebajikan yang membantu bekas atlet tapi saya menghargai Zakri sebab beliau menggunakan GL majikan untuk mendapat rawatan dan ini satu contoh buat bekas atlet lain. Bekas atlet dinasihatkan supaya guna kemudahan yang ada dahulu kerana Yakeb hanya boleh membantu untuk mengurangkan beban.
“Kita tidak boleh membantu sepenuhnya. Saya harap contoh yang beliau tunjuk ini jadi satu tauladan kepada yang lain. Jika boleh guna insurans atau GL jika masih bekerja. Kita akan bantu mereka yang tidak bekerja atau tidak dapat menampung bayaran bil hospital," katanya.
Untuk rekod, syarikat Zakri bekerja telah meluluskan GL berjumlah RM25,000 berbanding bil keseluruhan rawatan berjumlah RM27,000. Yakeb akan menanggung perbelanjaan yang tidak mencukupi itu. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!