Tahlil untuk Allahyarham Adib
Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan berharap kesemuanya dapat bersabar dengan kehilangan perwira negara itu.
“Kami warga Bomba Kelantan turut bersimpati dengan pemergian Muhammad Adib. Takziah kami ucapkan. Ini satu kehilangan besar buat kami warga bomba.
“Pihak kami juga akan mengadakan tahlil di semua balai dan mendoakan Muhammad Adib ditempatkan bersama para syuhadah,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhammad Adib, 24 , juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang cedera parah dipercayai dipukul dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lalu meninggal dunia jam 9.41 malam kelmarin.
Dalam pada itu, Nazili juga memberitahu kejadian tersebut tidak akan melemahkan semangat warga bomba dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Ini ujian kepada kami yang memakai baju seragam dan bertugas sebagai penyelamat. Bersama-sama kita berdoa agar kami semua diberikan kerahmatan dan dilindungi ALLAH SWT kerana pelbagai perkara boleh berlaku dalam melaksanakan tugas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!