Penduduk Sarawak sambut ‘Gawai Raya’ tahun ini

 - Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Penduduk Sarawak akan menyambut perayaan berganda ‘Gawai Raya’ tahun ini, iaitu Gawai Dayak pada 1 Jun dan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 5 Jun.

Masyarakat Sarawak berketurunan Dayak dan umat Islam akan menggunakan peluang daripada cuti umum yang panjang untuk pulang ke kampung halaman untuk memeriahkan sambutan perayaan itu bersama-sama kaum keluarga serta sahabat handai.

Emerlda Sibut, pegawai pemasaran yang berpangkalan di Kuching, berkata setiap tahun, beliau akan menyambut Gawai Dayak di rumah panjang Margaret Jara Manggut, di Machan, Kanowit.

Seperti kebanyakan anak Sarawak yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan itu, beliau perlu mengharungi perjalanan tujuh jam menggunakan Lebuhraya Pan Borneo untuk sampai ke rumah panjang itu.

“Ia merupakan bulan yang disambut penuh kemeriahan dan kami akan membuat banyak persiapan, daripada menyediakan tuak, sehinggalah kepada sajian tradisi dan manisan seperti ‘chuan’, ‘sarang semut’ dan ‘penyaram’,” katanya kepada Bernama di sini.

Emerlda berkata bermula 30 Jun, tradisi membentangkan tikar yang diperbuat daripada mengkuang dikenali sebagai ‘berancau tikai’, akan dilakukan di sepanjang ‘ruai’ atau beranda rumah panjang itu, dan pada sebelah petang, semua anggota keluarga akan berkumpul untuk makan malam bersama-sama serta mendengar amanat daripada ‘Tuai Rumah” bersempena sambutan Gawai Dayak.

Sementara itu, seorang pegawai hal ehwal korporat, Martino Unjan Mohammadin, 24, berkata perjalanan ke kampungnya, Nanga Lassa, Sibu, mengambil masa lebih enam jam dari Kuching, tempat beliau bekerja.

“Sambutan Gawai Dayak di rumah panjang sangat istimewa kerana bukan mudah untuk merasai sendiri kemeriahan sambutan ini di sini berbanding dengan menyambutnya di bandar,” katanya. Sementara itu, umat Islam di Sarawak akan turut membuat persiapan rapi untuk menyambut kedatangan 1 Syawal.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada tujuh orang anak, Aminah Mondoi, 55, dari Kampung Mang, Kota Samarahan berkata sambutan Aidilfitri di kampungnya penuh keceriaan dengan pelbagai majlis kemasyarakatan diadakan seminggu sebelum dan selepas raya.

Katanya acara ‘belangey’ diadakan pada 27 Ramadan di masjid dengan penduduk kampung membawa pelbagai juadah untuk dinikmati bersama-sama semasa berbuka puasa dan majlis ini akan diulangi selepas Aidilfitri.

“Satu lagi cara kami menyambut Aidilfitri di kampung ini adalah dengan menganjurkan perlawanan bola sepak, yang disertai penduduk kampung tanpa mengira peringkat umur dalam mana-mana pasukan dan acara tahunan ini merupakan satu-satunya hari di mana Aidilfitri disambut dengan cara yang berlainan berbanding tempat lain di Kota Samarahan,” katanya. – Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!