Vivy dilantik Ahli Lembaga Pengarah UiTM
SHAH ALAM - Pelantikan usahawan Datin Vivy Yusof sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijangka menyuntik idea baharu untuk menggalakkan keusahawanan dengan lebih berkesan dalam kalangan mahasiswanya.
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus, Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pelantikan itu memberi inspirasi kepada perniagaan baharu dalam kalangan warga UiTM.
Menurutnya, sebagai Ketua Pegawai Kreatif di FashionValet, sebuah syarikat e-dagang fesyen, dan juga pengasas bersama The dUCk Group, sebuah jenama terkemuka dalam industri pakaian Muslimah, Vivy dianggap amat peka dengan kehendak dan permintaan golongan milenium.
“Saya percaya bahawa universiti akan mendapat manfaat yang besar daripada pengalaman Datin Vivy Yusof sebagai usahawan wanita yang sangat berjaya.
“Kami berharap untuk bekerjasama dengannya dalam usaha untuk meningkatkan dan mengembangkan capaian keusahawanan UiTM dalam ekosistem global dan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azraai berkata, pelantikan Vivy untuk tempoh selama tiga tahun.
Katanya, pembabitan luas Vivy dalam bidang penjenamaan dan pemasaran akan dapat digunakan untuk melonjak jenama serta produk UiTM supaya menjadi lebih gah di mata dunia.
Vivy akan menyertai Ahli Lembaga Pengarah UiTM yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir serta anggota yang lain iaitu Mohd Sakeri Abdul Kadir, Datuk Mohd Zaini Hassan, Datuk Mohaiyani Shamsudin, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh dan Tan Sri Azizah Mokhzani.
Sementara itu, Syed Zainal Abidin mengalu-alukan pelantikan Vivy kerana akan menjadi pendorong serta memacu UiTM untuk kekal relevan sebagai hab keusahawanan institusi pendidikan tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!