Polis Terengganu tingkat rondaan di lokasi tumpuan

Aidi (tengah) menyerahkan juadah sahur kepada salah seorang anggota polis yang bertugas.
Aidi (tengah) menyerahkan juadah sahur kepada salah seorang anggota polis yang bertugas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di lokasi-lokasi tumpuan ramai sepanjang Ramadan dan perayaan Aidilfitri kali ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, inisiatif itu dibuat sebagai langkah pencegahan jenayah, termasuk rondaan berkala di kawasan kediaman dan premis perniagaan.

Bagi tujuan itu katanya, kira-kira 800 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang musim perayaan Aidilfitri nanti.

“Antara langkah yang kita buat ialah mengatur penugasan terutamanya di pusat-pusat tumpuan orang ramai, di mana musim sekarang ini mereka banyak tertumpu pada bank-bank untuk keluarkan duit.

“Kita juga membuat pemantauan di pusat membeli-belah dengan mengatur anggota-anggota berada di kawasan sekitar jika bantuan diperlukan dalam membuat pemantauan pencegahan jenayah,” katanya ketika ditemui pada Program Singgah Sahur Polis Terengganu bertempat di Pondok Polis Pelancong Batu Burok, awal pagi tadi.

DATUK AIDI ISMAIL
DATUK AIDI ISMAIL

Program itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Dalam perkembangan berkaitan, Aidi turut mengingatkan orang ramai yang meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung pada musim perayaan nanti agar memaklumkan kepada pihak polis bagi memudahkan pemantauan dan rondaan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyarankan agar orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi menghantar maklumat kepada pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!