PBNS pilih SMK Za'ba bangunkan bola sepak di NS
Naib Presiden PBNS, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, pemilihan pasukan bola sepak sekolah tersebut yang menjadi satu-satunya sekolah sukan di negeri ini berdasarkan pasukan itu berada di Liga Super Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2019 dan menunjukkan prestasi memberangsangkan setiap tahun.
"Menerusi kerjasama ini kita harap dapat mencungkil bakat baru di peringkat sekolah dan seterusnya merealisasikan usaha pembangunan bola sepak di negeri ini. Ini adalah salah satu usaha PBNS menggilap bakat anak muda terutamanya pelajar sekolah untuk menjadi pemain bola sepak profesional suatu hari nanti.
"Pembangunan di peringkat akar umbi perlu diperbanyakkan dan ditambah baik dengan kemudahan pusat latihan dan juga padang sekolah sekali gus dapat meningkatkan lagi mutu dan reputasi bola sepak terutamanya di SMK Za'ba," katanya di sini hari ini.
Mohamad Taufek yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan berkata, PBNS dan SMK Za'ba, Kuala Pilah sudah menandatangani Surat Akujanji Jumaat lalu yang ditandatangani antaranya dengan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Pkharuddin Ghazali serta disaksikan Presiden PBNS, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
"Surat Akujanji akan meletakkan SMK Za'ba, Kuala Pilah sebagai salah satu sekolah projek bola sepak di bawah pengawasan PBNS. Perjanjian (Surat Akujanji) ini juga merupakan komitmen PBNS dalam membentuk satu jalinan kerjasama di antara dua pihak bagi membangunkan bola sepak di Negeri Sembilan.
"PBNS bersetuju memperuntukkan sebanyak RM43,855 untuk perbelanjaan pengurusan pertandingan pasukan bawah 17 tahun sahaja dan berharap pasukan SMK Za’ba dapat menggunakan peruntukan disalurkan itu sebaik-baiknya," katanya.
Menurutnya, syarikat penaja pakaian PBNS iaitu Rhino bersetuju untuk menaja jersi pasukan bawah 14 tahun dan bawah 17 tahun dalam saingan Liga KPM 2019.
"Selain itu, Rhino juga berbesar hati untuk memberikan baju latihan bagi pasukan SMK Za’ba bagi setiap peringkat umur iaitu dari tingkatan 1 sehingga 5," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!