20 tahun menumpang rumah ibu

Hasnah dan Mohd Azman (kanan) menerima kunci rumah disampaikan Mohamed Al Namiri (tengah).
Hasnah dan Mohd Azman (kanan) menerima kunci rumah disampaikan Mohamed Al Namiri (tengah).
A
A
A

KUALA NERUS - Menjadi impian setiap orang untuk memiliki rumah sendiri termasuklah Hasnah Yusof, 52, kerana sebelum ini dia sekeluarga terpaksa menumpang rumah ibunya selama 20 tahun.

Namun, segalanya berubah apabila rumah bantuan menerusi Projek Bantuan Asnaf Bank Rakyat yang sudah siap diserahkan kepada ibu dua anak itu di Kampung Gomok, Tepoh di sini hari ini.

Penyerahan kunci rumah disempurnakan Ketua Wilayah Kelantan Terengganu Pahang, Mohamed Al Namiri Che Man bersama Penolong Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kuala Terengganu, Nik Khairur Rijal Mohd Ghazali.

Hasnah berkata, dia dan suami, Mohd Azman Abdul Hamid, 51, sudah tentunya gembira apabila menerima kunci rumah itu, sekali gus impian mereka tinggal di rumah sendiri menjadi kenyataan.

Menurutnya, sudah lama dia menantikan detik itu dan tanpa bantuan daripada Bank Rakyat berkemungkinan dia sekeluarga masih lagi menumpang di rumah ibunya, Bedah Awang Ahmad, 80-an.

“Selepas ini tidur malam dua anak kami akan lebih lena dan selesa. Keseronokan mereka berada di rumah sendiri berbeza berbanding di rumah nenek (ibu) tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Terima kasih kepada Bank Rakyat kerana prihatin dan memilih kami sebagai penerima bantuan rumah ini dan sambutan Aidilfitri kali ini juga sudah pastinya lebih ceria berbanding 20 tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, selain Hasnah, dua lagi penerima turut menerima rumah bantuan Projek Bantuan Asnaf Bank Rakyat iaitu Mohd Fadli Jusoh di Teluk Menara, Manir dan Nor Akmal Abdullah di Batu Hampar.

Artikel Berkaitan:

Majlis penyerahan kunci rumah bernilai RM45,000 yang dilengkapi dengan perabot termasuk televisyen dan peti sejuk itu juga diadakan pada hari sama dan disampaikan Mohamed Al Namiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!