Johor mahu berkolaborasi dengan MMU
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri mahu berkolaborasi dengan Malaysia Multimedia University (MMU) kampus Johor, di sini, untuk membangunkan ekonomi kreatif di kalangan belia Johor.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kepakaran yang dimiliki oleh universiti berkenaan boleh dimanfaatkan untuk penglibatan rakyat Johor khusus dalam industri berkenaan.
"Hari ini saya saya datang ke MMU untuk melihat peluang-peluang yang boleh dimanfaat kedua-dua belah pihak.
"Sebenarnya kita sudah lama mahu berkolaborasi dengan MMU dan diharap kerjasama itu bersifat situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak yang mana melibatkan rakyat Johor khususnya belia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke MMU kampus Johor, di sini hari ini.
Pada siri lawatan berkenaan, Sheikh Umar diberikan taklimat dan dimaklumkan tentang kemudahan yang terdapat di universiti berkenaan yang mana khusus dalam bidang seni sinematik.
Sheikh Umar berkata, buat masa ini, belum ada keputusan yang konkrit berhubung kerjasama berkenaan.
"Bagaimanapun, antara cadangan yang dilihat boleh dilaksanakan adalah mengadakan kursus jangka pendek untuk belia Johor.
"Ekonomi kreatif ini begitu dekat dengan MMU dan ini bermakna sekiranya kita tidak membuat kerjasama, ia menjadi satu kerugian," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah MMU Kampus Johor, Akmal Radzlan Mohd Rashid berkata, pihaknya sememangnya bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Johor.
"Kita memiliki kepakaran berkenaan dan tidak salah kita membantu rakyat Johor dalam usaha menaikkan nama negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!