Vietnam ujian sebenar Harimau Malaya

- Foto FAM
- Foto FAM
A
A
A
KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melahirkan keyakinan pemainnya mampu mengekalkan rentak kemenangan apabila berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, Vietnam, hari ini.

Pengendali berusia 50 tahun itu berkata, kemenangan dalam pertemuan itu penting bagi Malaysia menempah tiket awal ke separuh akhir kejohanan dwitahunan itu, selepas menumpaskan Kemboja 1-0 dan Laos 3-1 dalam aksi sebelum ini.

Cheng Hoe, bagaimanapun, tidak akan mengambil mudah cabaran Golden Dragons itu kerana tuan rumah sudah semestinya memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri bagi mencatat kemenangan kedua selepas membenam Laos 3-0 dalam aksi pembukaan, 8 November lalu.

“Vietnam pasukan pilihan dalam kumpulan ini dan kita tahu mereka mempunyai tempoh rehat yang lama berbanding kita, dan sebagai ketua jurulatih, saya mahu pemain saya mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan esok.

“Saya percaya ketua jurulatih mereka juga meletakkan harapan tinggi kepada pasukannya, tetapi kami berada di sini untuk meraih keputusan positif,” katanya pada sidang media pra perlawanan berkenaan di pejabat Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) semalam.

Dalam perkembangan lain, Cheng Hoe berkata, doktor pasukan masih memantau tahap prestasi pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh yang mengalami kecederaan ‘hamstring’ ketika perlawanan kedua berdepan Laos pada 12 November lalu.

“Bagus untuk pasukan jika beliau (Sumareh) boleh beraksi pada perlawanan esok kerana beliau memainkan peranan penting di bahagian hadapan,” kata Cheng Hoe sambil mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan beberapa pemain Vietnam yang boleh memberi ancaman kepada kubu skuad negara.

Sementara itu, pemain pertahanan negara, Shahrul Mohd Said menggesa rakan sepasukan supaya tidak gementar apabila beraksi di stadium berkenaan yang dijangka dibanjiri penyokong tuan rumah.

“Saya mendapat tahu tiket bagi perlawanan itu sudah habis terjual, tetapi saya mempunyai keyakinan terhadap rakan sepasukan saya sepertimana ditunjukkan dalam aksi sebelum ini menentang Kemboja, dan kami sangat bersemangat untuk perlawanan esok (hari ini.,” kata ketua pasukan Perak itu.
Artikel Berkaitan:


Malaysia kini mengungguli carta kedudukan Kumpulan A setelah mengutip enam mata selepas dua perlawanan, manakala Myanmar di tempat kedua berdasarkan perbezaan gol walaupun berkongsi tiga mata dengan Vietnam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!