Umno Hulu Terengganu tidak akan lumpuh
Keyakinan itu disuarakan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat sewaktu berucap pada perjumpaan khas Umno bahagian itu bersama pemimpin akar umbi di Kuala Berang, di sini.
Rozi berkata, kekuatan ahli Umno masih ada dan akan tetap bersama berjuang untuk memastikan Umno kembali bangkit walaupun menghadapi pelbagai gelora.
"Sesiapa sahaja boleh buat andaian tetapi saya tegaskan bahawa Umno Hulu Terengganu tidak akan lumpuh kerana kita masih punyai ramai ahli Umno yang terus taat setia pada parti keramat ini.
"Senior-senior Umno juga masih ada dengan kita...sebahagian besar sayap terus kekal bersama Umno dan kita masih ada ramai pemimpin bahagian, cawangan untuk bersama mengemudi Umno Bahagian Hulu Terengganu ini," katanya.
Dalam itu, Rozi yang juga Adun Telemong turut meluahkan rasa terkejut dan sedih dengan keputusan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid keluar daripada Umno.
Katanya, Rosol diibaratkan sebagai guru politik yang mencurahkan ilmu kepadanya dan beliau tetap mendoakan agar pemimpin itu berjaya dengan cita-citanya.
"Jika saya ambil tindakan sama (keluar Umno), bagaimana dengan anak-anak buah? Tentunya mereka terkapai-kapai, jadi alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, kita akan berjuang sama-sama pertahankan Umno," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!