Tiga jam kaki tersepit bawah jentera penggelek jalan
KEMAMAN - Seorang pemandu jentera penggelek terpaksa menanggung kesakitan hampir tiga jam dan mengalami cedera parah selepas tersepit di bawah jentera dipandunya itu yang terbalik dalam kejadian di Bukit Jembalang, di sini, petang tadi.
Dalam insiden kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa, Che Ku Mohd Jofizal Che Ku Sin, 38, tersepit di bahagian kaki kerana ditindih jentera itu yang terbalik di ketika sedang melalui lereng bukit.
Mangsa berjaya dikeluarkan sepasukan tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai kira-kira jam 7.54 petang tadi dan patah kaki kiri.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba Azmi Ab Rahim berkata, sepasukan tujuh pegawai dan anggota BBP Chukai bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 4.58 petang.
"Setibanya di lokasi kejadian kami dapati mangsa cedera dan menahan sakit kerana kakinya tersepit pada bumbung jentera penggelek yang terbalik.
"Kerja mengeluarkan mangsa sedikit sukar kerana keadaan persekitaran lokasi yang tidak rata ditambah pula dengan keadaan jentera itu yang seberat 40 tan," katanya.
Azmi memberitahu, pihaknya terpaksa menggunakan dua buah jentolak untuk mengangkat jentera penggelek jalan tersebut.
Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira satu kilometer dari jalan utama dan ia dipercayai berlaku setelah jentera dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbalik.
"Selepas hampir tiga jam operasi dilakukan mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman menggunakan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Operasi menyelamat mangsa ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam tadi," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!