Seronok jadi geng bawang?
BAWANG. Satu perkataan yang sinonim dengan rakyat Malaysia. Jika dulu bawang hanya digunakan dalam masakan, tetapi penggunaannya kini telah diperluaskan. Bawang ialah istilah terbaru yang digunakan apabila merujuk kepada individu yang sedang memperkatakan sesuatu isu atau bergosip atau lebih tepatnya ‘membawang’.
Mereka yang membawang itu pula diberi gelaran tertentu seperti mak cik atau pak cik bawang, geng bawang, tentera bawang, bawang rangers dan macam-macam lagi.
Siapa yang layak jadi geng bawang? Rasanya semua orang pernah merasa menjadi geng bawang atau dilabel sebegitu, asalkan anda dilihat sedang membawang.
Di mana untuk jumpa mereka ini? Jika mahu dengar sesi membawang secara live, boleh pergi ke kenduri-kendara, pasar malam, pantri pejabat atau mana-mana lokasi, malah di surau dan masjid pun ada orang membawang.
Cara paling senang untuk mengesan geng bawang ini adalah dengan membuka saja media sosial. Pergi ke pautan berita yang dikongsi oleh laman-laman popular, buka ruangan komen dan nah! ‘Bersepah’ geng bawang memberikan pandangan dan hujah masing-masing.
Tidak dinafikan ada komen-komen yang positif. Tetapi jika membaca komen-komen yang negatif, boleh sesak nafas dibuatnya.
Jika misalnya kisah yang dikongsi itu berkaitan perceraian artis popular, geng bawang akan tampil dengan teori dan spekulasi masing-masing tentang punca di sebalik perceraian itu. Lagaknya seperti mereka berkongsi kelambu dengan artis tersebut.
Lain pula jika isu pembunuhan dipaparkan, pasti ada yang memberi komen seolah-olah merekalah polis, peguam dan hakim. Tidak dapat dibayangkan apa perasaan ahli keluarga mangsa jika membaca komen-komen di media sosial.
Lebih malang jika anda tularkan dengan video yang tidak sepatutnya, bersiap sedialah untuk dihentam secara berjemaah oleh geng bawang. Silap hari bulan, mungkin satu keturunan malu untuk keluar rumah.
Media sosial yang dulunya menjadi tempat paling bahagia untuk berkongsi aktiviti harian, makanan kegemaran dan lokasi percutian, kini mungkin bagi sesetengah orang ia berubah menjadi tempat menakutkan.
Masakan tidak, penangan geng bawang terlalu besar dan sukar dikawal. Kadang kala sekecil-kecil isu pun ada saja yang tidak kena di mata mereka.
Semuanya ghairah dan berlumba-lumba untuk meninggalkan komen sehingga terlupa menjaga perasaan orang lain. Ayat yang digunakan pula melampaui batas, ikut sedap jari yang menaip.
Ramai yang seronok membawang di media sosial sehingga tidak sedar telah pun menjadi pembuli siber. Mereka terlupa atau mungkin buat-buat lupa bahawa apa yang ditulis di media sosial itu boleh meninggalkan kesan mendalam kepada individu yang diperkatakan.
Kalau setakat tutup akaun Facebook kerana tidak tahan dihentam geng bawang mungkin tidak apa lagi. Tetapi bagaimana pula jika ada yang mengalami tekanan dan lebih teruk sehingga membunuh diri?
Seperti kes PU Abu dan bekas isterinya, Ain ‘Afini yang kecoh diperkatakan baru-baru ini. Ain sendiri mengakui bahawa dirinya stress membaca kecaman dan kritikan netizen sehingga bayi dalam kandungannya tidak aktif.
Dalam kes ini, PU Abu yang teruk ‘dibantai’ netizen, tetapi Ain turut terkena tempiasnya. Bayangkan jika kandungannya bermasalah, adakah geng bawang mahu bertanggungjawab? Tetapi bukan dalam semua kes geng bawang dipandang negatif. Kesepakatan geng bawang boleh dipuji jika melibatkan kes berkaitan maruah negara, agama dan bangsa misalnya.
Mungkin masih ada yang ingat lagi kes laman Facebook Sukan Paralimpik Antarabangsa (IPC) ‘diserang’ ribuan bawang Malaysia gara-gara keputusan jawatankuasa IPC membatalkan hak penganjuran Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching.
Atau kes Senator Fraser Anning yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman sehingga ‘ditepek’ telur. Walaupun dia jauh nun di Australia, bukan penghalang untuk geng bawang Malaysia turut ‘menyerangnya’ di laman sosial.
Apa pun, tidak salah untuk membawang asalkan anda menjaga kata-kata, fahami sensitiviti orang lain dan bukan sekadar menaip tanpa kawalan.
Jadilah geng bawang yang berhemah dan bukan beremosi kerana setiap komen anda di laman sosial diperhatikan.
Ambil pengajaran daripada kes seorang wanita yang dipecat serta merta kerana menulis komen tidak sesuai berkenaan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. Tersilap membawang, kerja pun hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!