Rasionaliti kuota Dr Maszlee
AHLI falsafah terkenal, Michel Foucault, telah mengkritik andaian bahawa rasionaliti bersifat universal dan objektif. Bagi beliau, apa yang dianggap rasional bagi satu budaya tidak semestinya dianggap rasional bagi budaya yang lain. Rasionaliti adalah bersifat relatif, tidak bersifat mutlak seperti wahyu Tuhan!
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee telah ditanya oleh seorang mahasiswa Cina USM yang tidak fasih Bahasa Melayu tentang isu kuota matrikulasi. Rasionaliti mahasiswa itu ialah kuota demikian adalah tidak adil kerana semua adalah Bangsa Malaysia.
Persoalannya bukan sama ada rasionaliti mahasiswa ini sahih atau tidak tetapi mengapa dia rasa keadilan mengikut acuannya itu bersifat rasional. Rasionaliti adalah relatif kepada budaya seseorang.
Perlu diingati bahawa beliau adalah mahasiswa universiti, bukan rakyat biasa. Kualiti akademik beliau adalah bertaraf menara gading. Maka kita perlu menghormati kualiti rasionaliti beliau sebagai mahasiswa dan pengundi PRU.
Foucault mengajak kita mengkaji wacana budaya yang akan membantu kita memahami lebih mendalam tentang rasionaliti sebuah budaya. Cuba tanya apa yang tidak ditanya oleh mahasiswa itu untuk memahami mengapa dia tanya apa yang dia tanya.
Mengapa dia tanya tentang isu kuota matrikulasi? Premis rasionalitinya ialah kita semua bangsa Malaysia, maka mengapa perlu kuota. Bukankah kuota tidak adil? Mengapa dia tidak tanya mengapa Bahasa Melayu masih gagal dimartabatkan di institusi pendidikan? Persoalan ini tidak terlintas. Bukankah kita semua bangsa Malaysia, maka sepatutnya semua berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan bahasa Melayu?
Pemuda DAP-MCA begitu cepat bersatu bertindak mengkritik rasionaliti Dr Maszlee yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan syarat kefasihan bahasa Mandarin di bidang pekerjaan. Untuk memahami rasionaliti DAP-MCA ini, kita bertanya mengapa keluarga DAP-MCA ini tidak terlintas untuk highlight masalah bahasa Melayu gagal dimartabatkan di dunia komersial seperti sekolah dan syarikat swasta, tetapi mereka bersatu mengkritik Dr Maszlee dalam isu bahasa Mandarin.
Hakikatnya ialah kedua-dua bangsa Melayu dan Cina mempunyai rasionaliti tersendiri dan patut berta'aaruf antara satu sama lain. Tak perlulah membangkitkan semangat asabiyah terhadap Dr Maszlee dan keluarga DAP-MCA.
Bagi DAP-MCA, rasionaliti bahasa adalah sekadar job skill iaitu satu kemahiran komersial. Apa yang adil dan tidak adil adalah bersifat komersial. Itulah sebab kita lihat bidang-bidang ilmu non-komersial seperti pengkhususan dalam ketamadunan, perbandingan agama, sejarah, falsafah tidak mendapat sambutan yang sepatutnya di universiti-universiti swasta.
Rasionalitinya ialah apa yang tidak komersial tidak perlu dihighlight dalam wacana semasa politik. Maka kita tidak lihat DAP-MCA berjihad iaitu go all out untuk membuat protes besar-besaran sebagai Bangsa Malaysia untuk mempersoalkan mengapa bahasa Melayu gagal dimartabatkan sebagai Bahasa Negara, mengapa wujud diskriminasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris-Mandarin dalam sektor pendidikan, swasta dan komunikasi peribadi?
Kaum Bumiputera termasuk Dr Maszlee melihat bahasa bukan sekadar isu job skill. Bahasa adalah isu identiti negara. Tiada yang layak digelar Bangsa Malaysia kalau tidak fasih bahasa Melayu, apatah lagi membuat syarat Mandarin sebagai job skill! Maka isu Mandarin tersirat persoalan sejauh manakah bahasa Melayu diperjuangkan oleh syarikat-syarikat yang meletakkan syarat komersial ini? Maka berlakulah salah faham antara rasionaliti tentang kedudukan bahasa.
Kita tidak boleh sangka buruk terhadap bangsa Cina yang rasa isu kuota matrikulasi tidak adil kerana anak-anak mereka juga Bangsa Malaysia yang bertungkus-lumus berjihad untuk ekonomi negara. Kita tidak boleh juga sangka buruk kepada Bumiputera yang rasa syarat Mandarin sebagai job skill itu juga tidak adil kerana ia melemahkan identiti nasional.
Kalau semua cuba memahami perbezaan rasionaliti masing-masing, maka kita akan lebih bersifat memaafkan. Bagi saya, komen Dr Maszlee yang kaitkan kuota matrikulasi dan syarat bahasa Mandarin adalah relevan dan kritikan keluarga DAP-MCA terhadapnya adalah juga relevan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!