Fitrah untuk setahun

A
A
A

ALLAH S.W.T. sebagai “Rabbul-‘alamin” atau Tuhan sekalian alam yang mencipta alam dan kehidupan terus menjaga dunia yang fana. Ini akan terus berlaku hingglah ke hari kiamat nanti, apabila kehidupan insan serta segala apa yang ada dalam dunia ini berpindah ke fasa akhirat. ALLAH yang Maha Pemberi Rezeki (ar-Razzaq) cukup mengasihi orang yang beriman kepada-Nya serta kekasih-Nya Muhammad Rasulullah S.A.W.

Bagi insan yang tidak beriman kepada ALLAH, kerahmatan-Nya terus dicucuri-Nya ke atas diri mereka dengan mengizinkan mereka bernyawa dan mendapat rezeki dalam hayat yang amat sementara ini.

Pada bulan Ramadan, seluruh umat Islam berpeluang menerima kerahmatan serta keampunan Tuhan dengan cara besar-besaran. Ini berlaku setelah sebelas bulan bertungkus lumus mencari rezeki menurut syariat Nabi tercinta Muhammad S.A.W.

ALLAH Maha Pengasih (ar-Rahman) telah menyiapkan untuk kita bulan Ramadan yang mulia yang terdapat Lailatul-qadar di dalamnya. Untuk memanfaati segala kebaikan bulan ini, kita perlu menjalani disiplin berpuasa pada siang hari bersekali dengan amal salih.

Pada waktu malam pula, kita menyambung amal salih dan menghidupkan amalan sosio-spiritual.

Solat fardu serta tarawih berjemaah, beriktikaf di masjid, bertadarus al-Qur’an secara berkelompok dan membayar zakat fitrah adalah penghayatan fardiah (peribadi), kemasyarakatan dan kerohanian.

Amat rugilah mereka yang membawa masuk ke dalam dan keluar dari bulan Ramadan sifat pecah amanah, suka berbohong dan hilang silaturrahim.

Pada sekitar hujung waktu asar hari akhir Ramadan, beruntunglah mereka yang telah lulus ujian Ramadan. Sebaik-baik saja azan maghrib berkumandang pada malam pertama Syawal, merekalah yang sebenar-benarnya berhak merayakan Aidul-Fitri atau Hari Raya Fitrah. Kumpulan inilah yang berjaya kembali ke fitrah atau kesucian asli diri sendiri.

Artikel Berkaitan:

Keadaan fitrah hujung Ramadan tidak sepatutnya terhenti pada bulan mulia itu saja. Jika Ramadan yang menjana fitrah boleh diumpamakan sebagai bateri kerohanian yang dicas semula, maka bateri fitrah ini sepatutnya boleh bertahan lama hinggalah ke Ramadan akan datang.

Untuk umat Muhammad S.A.W. terus berada di dalam keadaan fitrah sepanjang tahun, ALLAH Maha Pencipta (al-Khaliq) memberi peluang yang amat banyak untuk mencapai status ini; dan berikut adalah tiga daripadanya:

Pertama, sikap istiqamah mengasihi dan mentaati ALLAH dan Rasul-Nya dengan menyuci jiwa (tazkiatun-nafsiyyah) dan hidup dalam batas-batas syariah Islamiah.

Kedua, sentiasa bertaubat kerana tiada insan yang tidak melakukan dosa kecil atau besar dan ALLAH Maha Pengampun (al-Ghafur) mengasihi orang yang bertaubat.

Ketiga, melaksanakan prinsip menyeru kepada kemakrufan serta menolak kemungkaran dan menghayati ajaran al-Qur’an dan Hadis.

Suasana Hari Raya memudahkan kita mengimbau kembali suasana kasih mesra bersama-sama keluarga serta sahabat handai. Dalam masyarakat majmuk di Malaysia, banyak keluarga Islam dapat menikmati suasana mesra ini bersama-sama saudara mara serta kawan-kawan dari agama lain.

Kesan positif Ramadan membuat kita terus peduli tentang masyarakat dan negara berbilang kaum ini. Isu-isu besar seperti keselamatan, pendidikan, keadilan serta kebersihan (peribadi, persekitaran dan urus tadbir) menjadi kepedulian umat yang berjaya mencapai fitrah.

Bila kumpulan majoriti dan dominan dalam umat Islam yang mencapai fitrah dapat bersama-sama dengan seluruh masyarakat majmuk yang mahukan kedamaian serta keadilan, maka akan lebih makmurlah negara ini, di bawah naungan kerahmat.

* Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!