Al-Quran 'bina' semula semangat penghuni penjara

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar (tiga kanan) bersama kakitangan Pejabat Penjara selepas sesi temubual bersama media berkenaan pendekatan Al-Quran dan penyertaan Program World #QuranHour kepada banduan di Ibu Pejabat Penjara Malaysia. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar (tiga kanan) bersama kakitangan Pejabat Penjara selepas sesi temubual bersama media berkenaan pendekatan Al-Quran dan penyertaan Program World #QuranHour kepada banduan di Ibu Pejabat Penjara Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak langsung terkesan dengan kisah lampau, satu persatu ayat al-Quran dibaca lancar dengan sesekali ditegur oleh pegawai agama dan suasana itu bukan asing bagi penghuni penjara yang cuba mencari semula jati diri yang hilang.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar dalam temu bual khas bersama media mengenai program #World Quran Hour di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang, baru-baru ini, berkata pendekatan al-Quran ternyata banyak memberi impak positif dalam mengembalikan semula sisi gelap banduan kepada fitrah walaupun ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan.

"Memang banyak cabaran dan itu kita terpaksa akui memandangkan banduan ini datangnya dari pelbagai latar belakang. Namun dengan modul pembangunan insan, ia mula menunjukkan impak positif terutama dalam memastikan mereka bukan sahaja insaf dan berubah tetapi kembali hidup berpandukan agama," katanya.

Lebih menarik, modul itu turut menyaksikan penurunan ketara banduan yang kembali ke penjara kerana mengulangi kesalahan jenayah daripada 30 peratus kepada 10 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Antara faktornya ialah, kita 'bina' semula penghuni penjara terutama yang beragama Islam dengan penerapan al-Quran sebagai cara dan panduan hidup kerana walaupun mereka banduan, ia tetap tidak melepaskan mereka daripada tanggungjawab menjalankan kewajipan dan perintah agama," katanya.

Menurut Zulkifli, walaupun berdepan kesukaran mendidik semula penghuni penjara, ia dipermudahkan melalui program pembangunan insan dengan matlamat apabila mereka keluar nanti sekurang-kurangnya mereka boleh membaca al-Quran, solat dengan baik dan memimpin keluarga.

"Penekanan diberikan melibatkan empat elemen utama - orientasi, pengukuhan sahsiah, spiritual (kerohanian) dan integrasi atau kembali kepada masyarakat. Bagi merealisasikan empat elemen utama ini, kami terapkan pengajaran al-Quran menerusi konsep 3T iaitu talaqi, tadarus dan tahfiz," katanya.

Tidak keterlaluan juga, Zulkifli menjelaskan modul tersebut sangat berjaya kerana dapat membantu banduan yang dahulunya buta huruf tetapi kini mampu khatam al-Quran dalam tempoh empat tahun sahaja dengan dipantau pegawai agama yang mengajar dan menyelia mereka.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh pembelajaran tersebut, banduan juga mampu memahami maksud ayat dibaca dan secara perlahan-lahan, mereka mengamalkan apa dibaca sekali gus mengubah cara pemikiran dan cara hidup mereka," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyertaan banduan dalam sesi pembelajaran agama itu bukan sekadar memenuhi keperluan modul tetapi menjadi ‘peluang’ bagi mereka mendapatkan keistimewaan tertentu memandangkan prestasi mereka dinilai dari semasa ke semasa.

“Ini peluang bagi setiap banduan 'berlumba-lumba' untuk naik peringkat dalam penjara yang sekiranya mereka memperoleh markah 70 ke atas, mereka akan mendapat beberapa keistimewaan seperti pergerakan lebih bebas dalam kawasan penjara.

"Paling utama, pendekatan al-Quran ini juga banyak mengubah persepsi keluarga ke atas banduan selepas melihat perubahan positif, malah penerimaan masyarakat juga dilihat bertambah baik apabila banduan ini mula ke masjid atau surau selepas dibebaskan kerana mahu meneruskan pembelajaran al-Quran," katanya.

Melalui modul pembangunan insan berteraskan al-Quran itu juga, 10 Rumah Ngaji menggunakan teknik Al-Badar ditubuhkan sejak 2014, ia adalah nilai tambah kepada slot al-Quran dalam program Halaqah sedia ada di penjara.

Mengenai kempen #World Quran Hour bertemakan “Solusi Cabaran Sejagat” pada 30 Mei ini, Zulkifli menjelaskan semua penghuni dan kakitangan di 38 penjara yang menempatkan hampir 85 peratus banduan beragama Islam di seluruh tanah air akan mengadakan sesi tadarus al-Quran di lokasi masing-masing.

“Program Quran Hour itu yang disertai pihak penjara sejak beberapa tahun lalu sebenarnya banyak memberi semangat kepada banduan untuk lebih fokus dalam pengajian al-Quran, bahkan merupakan kemuncak kepada proses pembelajaran al-Quran mereka," katanya.

#World Quran Hour tahun ini mengambil keberkatan 10 hari terakhir Ramadan dan ia akan diadakan di lokasi utama, di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Agama dan Kaunseling (BAK), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Abdullah Hashim berkata Jabatan Penjara turut memperkenalkan Sijil Pengurusan Masjid melalui Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) tahap tiga yang melayakkan banduan terpilih mengikuti pengajian tahfiz di dalam penjara.

Ia dibangunkan BAK dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Banduan, Seksyen Vokasional Industrial (VI) dan peserta yang terpilih akan menerima latihan dan sijil yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

“Setakat ini, empat institusi penjara di Penjara Kajang, Selangor; Kluang, Johor; Pokok Sena, Kedah; dan Marang, Terengganu sudah memulakan program pengajian tahfiz ini untuk kumpulan pertama membabitkan 20 banduan.

"Sepuluh daripada peserta skim ini berjaya mencapai sasaran menghafal 10 juzuk al- Quran dan majlis konvokesyen pertama akan berlangsung tahun ini. Menariknya, mereka ini tidak ada latar belakang dalam agama yang mantap atau pernah mengikuti pengajian tahfiz, namun masih mampu menguasai hafalan dengan baik,” katanya.

Abdullah berkata skim berkenaan turut melayakkan banduan terpilih itu menggunakan sijil yang diperoleh tersebut untuk mencorakkan semula kehidupan mereka selepas bebas daripada penjara kelak.

“Kami berharap banduan dibebaskan kelak bersama sijil ini mendapat tempat dalam masyarakat dan boleh menggunakan kelayakan yang ada untuk berkhidmat sebagai imam atau bilal di masjid dan surau. Setakat ini, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berjanji untuk menyediakan pekerjaan sebagai imam bagi banduan yang berjaya melepasi hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!