Peniaga di Kelantan jangan ambil kesempatan!
KOTA BHARU – Peniaga di Kelantan tidak boleh mengambil kesempatan dengan pertambahan jumlah penduduk menjelang hari raya sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan jualan mereka.
Ketua Pegawai Penguatkuasa, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, memang diakui ramai rakyat Kelantan yang tinggal di luar negeri akan pulang ke desa kali ini ditambah pula cuti sekolah yang panjang.
“Kita amat berharap peniaga mengikut arahan yang telah ditetapkan dan meletakkan harga menggunakan pelekat merah jambu bagi mengelak daripada kekeliruan melibatkan barangan yang berada di bawah kawalan dan sebagainya.
“Jika ada peniaga yang ingkar arahan yang telah ditetapkan melalui Skim Harga Kawalan Musim Perayaan yang sudah ditetapkan, tindakan keras akan diambil,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau mengetuai Operasi Bersepadu yang di jalankan KPDNHEP bersama 64 pegawai yang terdiri daripada wakil agensi PDRM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAHEIK), Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri, Jabatan Pendaftaran, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di RTC, Tunjong, di sini hari ini.
Menurutnya, operasi bermula 6 pagi hingga 8.30 pagi yang melibatkan 254 premis runcit dan borong itu berjaya menghasilkan lapan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamer tanda harga merah jambu.
Selain itu, turut ada juga satu kes melibatkan Akta Timbang dan Sukat 1977 kerana gagal menentukan arah alat timbang.
Ketika ditanya mengenai trend harga pada masa kini, beliau berkata, kebanyakan peniaga mematuhi arahan yang dikeluarkan dan berharap ia dapat berterusan sehingga tempoh yang ditetapkan.
“Walaupun begitu, kami tetap lakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa, malah lebih kerap lagi apabila menjelang musim perayaan. Buat masa ini kita tidak menerima sebarang aduan, tapi kami tetap bersedia dan akan bertindak secepat mungkin jika mendapat aduan.
"Kita mempunyai anggota dan pegawai di lima cawangan iaitu Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas dan Kota Bharu sendiri untuk bertindak jika kita terima aduan,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!