Cubaan seludup arak bernilai RM294,560 gagal
ALOR SETAR -Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah mematahkan cubaan menyeludup pelbagai minuman keras dianggarkan bernilai RM294,560.22 termasuk cukai dalam pemeriksaan di Pelabuhan Kargo Jeti Kuala Kedah, di sini, Jumaat lepas.
Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, sepasukan anggota Penguatkuasaan Kastam dari Cawangan Alor Setar menahan sebuah lori tanpa pemandu kira-kira jam 9.30 pagi berdasarkan maklumat ampoma.
Menurut beliau, pemeriksaan menemukan lebih kurang 1,800 botol minuman keras terdiri daripada 29 jenama cuba disembunyikan dalam kotak terpakai barang runcit dalam lori melalui Operasi Letup Bil 3/2019 itu.
"Kita mendapati jumlah keseluruhan minuman keras sebanyak 689.30 liter (l) dianggarkan bernilai RM139,995,manakala nilai cukai terbabit ialah RM104,545.22.
"Jadi, kita merampas minuman keras pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan RM294,560.22 dan sebuah lori jenis 'bonded' dianggarkan bernilai RM50,000 itu," katanya pada sidang media di Dewan Mesra JKDM di Jalan Pegawai, di sini hari ini.
Katanya,siasatan mendapati pihak terbabit mengikrarkan lori terbabit sebagai lori muatan kosong dalam borang Kastam 3, sedangkan membawa muatan.
Johari berkata, selain itu,pihak terbabit didapati tidak mengikrarkan kenderaan itu dalam 'manifest', yang mana nombor lori tiada dalam 'manifest' ejen.
"Kita mendapati pihak terbabit cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan kotak terpakai barangan runcit seperti lampin pakai buang, makanan segera dan air minuman mineral untuk menyorokkan minuman keras pelbagai jenama terbabit," katanya.
Menurut beliau, antara modus operandi lain dikenal pasti, ialah membawa bersama muatan barangan terpakai seperti katil dan barangan plastik jenama Tupperware.
Menurut beliau, lori membawa muatan minuman keras pelbagai jenama keseluruhan jenis mahal itu dipercayai masuk dengan menaiki bot ponton dari Langkawi ke Kuala Kedah.
Menurut Johari, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh untuk melihat modus operandi dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu memiliki barang tidak berkastam.
"Kita menggesa orang ramai untuk membantu memerangi jenayah penyeludupan, sekaligus tidak melibatkan diri mereka dengan aktiviti terbabit," katanya.
Katanya, penyeludupan tidak hanya mengakibatkan kerugian negara dari segi kehilangan hasil, malah memberi ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Orang awam memilih maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan diseru untuk menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 ataupun ke pejabat kastam berdekatan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!