Scam perdaya tidak kira siapa, jangan jadi mangsa seterusnya...

Gambar kecil, Abdul Aziz Ali
Gambar kecil, Abdul Aziz Ali
A
A
A

SEPANG - Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kes penipuan (scam) tanpa mengira umur dan skop pekerjaan hingga mengakibatkan kerugian yang besar, sekiranya tidak peka dengan jenayah tersebut.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner c berkata, ini terbukti dengan laporan statistik Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sejak 1 Januari lalu sehingga 27 Mei.

Katanya, sebanyak 12 kes dilaporkan di daerah Sepang membabitkan kerugian sebanyak RM525,242.

"Daripada jumlah itu, tujuh kes melibatkan lelaki dan lima lagi mangsa wanita yang kesemuanya berusia lingkungan 21 sehingga 65 tahun.

"Berdasarkan skop pekerjaan mereka adalah peniaga, setiausaha syarikat, jurutera, eksekutif syarikat, suri rumah, juru jual, pesara kerajaan dan pegawai IT," katanya dalam sidang akhbar di IPD Sepang, hari ini.

Mengulas tentang modus operandi sindiket penipuan terbabit, Abdul Aziz mendedahkan, suspek akan menyamar sebagai pegawai undang-undang, polis, pegawai bank, kastam, pekerja mahkamah, pos laju, syarikat kurier, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta rakan mangsa.

Jelasnya, suspek akan memperdaya mangsa dengan mendakwa mangsa terlibat dengan tunggakan kad kredit, terlibat dalam kes jenayah seperti dadah serta pengubahan wang haram, penipuan penghantaran barang, dan tunggakan bil elektrik.

"Malah ada sindiket ini menakut-nakutkan mangsa ada terlibat dengan kes mahkamah selain menyamar sebagai rakan mangsa dengan menggunakan gambar profil rakannya kononnya mahu meminjam wang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

"Antara cara mengatasi adalah usah mudah panik apabila menerima panggilan daripada orang tidak dikenali dengan membuat semakan dengan pihak sebenar, tegas untuk mengatakan tidak sekiranya diminta butiran peribadi, peka dengan sindiket penipuan.

"Selain itu, orang ramai boleh menggunakan aplikasi yang dapat mengesan nombor panggilan tidak diingini (truecaller) serta menyemak melalui portal 'semakmule' untuk mengesan sama ada akaun tersebut terlibat dalam penipuan atau sebaliknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!