Busur panah sumber rezeki Helmi
TEMERLOH - Kalau dahulu dia menjual kurma,asam di pasar malam kini busur panah menjadi hasil jualannya.
Bermula dengan perasaan ingin tahu, Helmi Osman,43 dari Felda Sungai Nerek,Jengka kini beralih arah bergelar pengusaha busur panah tradisional.
Dan kini ia telah menjadi sumber pendapatan utama buat Helmi sejak enam bulan lalu yang menghasilkan 100 peratus hasil tangannya di bengkel kecil berhampiran rumahnya.
Dengan modal permulaan lebih RM1,000,Helmi terus mengorak langkah dan kini mampu menjual busur itu dengan harga RM200 setiap satu.
Tanpa disangka bermula kerana busur yang dibelinya kurang sesuai kini Helmi telah mahir dan mampu menghasilkan busur tersebut malah kini ia mula mendapat tempahan para penggemarnya.
"Saya memang minat memanah.Saya ada beli satu busur tapi kurang sesuai.Jadi saya buka balik dan pasang semula tengok-tengok menjadi.
"Dari situ saya terus mencari bahan dan dapatkan maklumat lebih banyak dan tengok Youtube,Facebook dan akhirnya kini ia jadi sumber rezeki buat keluarga," katanya kepada Sinar Harian.
Selepas bergelar peniaga pasar malam sejak lapan tahun lalu kini dia lebih memilih untuk menghasilkan busur tradisional kerana kosnya lebih berpatutan berbanding busur moden.
Menggunakan fiber glass dan kayu cengal sebagai medium utama,bapa kepada empat cahaya mata itu menghasilkan dua jenis busur,Turki dan Hungary bow.
"Buat masa ini saya telah menerima tempahan lebih 100 dan pelanggan seluruh Malaysia termasuk Sabah,Sarawak.
"Saya promosikan hasil kerja tangan di laman Facebook,Jeng Kreng Bow," katanya lagi.
Ditanya penerimaan keluarga,isterinya Rohana Kasim,40 dan empat cahayamatanya yang berusia 6 hingga 12 tahun memberikan sokongan terhadap kerjaya barunya itu.
Jelasnya lagi,dia turut memilih menghasilkan busur tradisional kerana ia juga salah satu usaha untuk mempromosikan sukan tersebut selain mengikut sunah Rasulullah S.A.W.
Jelasnya,pelbagai proses perlu dihadapi sebelum dapat menyiapkan setiap satu busur terbabit.
"Proses bermula antaranya membentukkan fiber,memotong,menjemur,mememasang benang nylon,menggosok,menjemur dan proses akhir,mencubanya untuk pastikan ia sesuai sebelum poskan kepada pelanggan.
"Setiap busur saya boleh siapkan dalam tempoh dua,tiga hari dan bergantung pada jumlah tempahan,kalau banyak mungkin lebih seminggu." katanya lagi.
Dalam pada itu,Helmi memasang hasrat untuk memiliki bengkel lebih sempurna dan moden untuk memastikan kualiti busurnya terus memikat perhatian peminat sukan itu.
"Saya juga berharap lebih ramai orang ramai di negara ini memilih sukan memanah kerana ia juga sunah Nabi.
"Dan setakat ini memang ada beberapa pihak menjemput untuk mengajar tetapi buat masa ini,tidak berkesempatan memenuhi jemputan mereka,"ujarnya sedia berkongsi ilmu bagi mereka yang berminat mempelajarinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!