Jangan membazir dengan bufet Ramadan
ALOR SETAR - Umat Islam dinasihatkan bersederhana ketika berbuka puasa berbanding memilih pakej bufet Ramadan yang menawarkan harga melampau.
Presiden Persatuan Pengguna Melayu Kawasan Utara (PPMKu), Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, orang ramai diingatkan tujuan sebenar amalan berpuasa yang menggalakkan kesederhanaan.
"Umat Islam perlu berbuka puasa dengan kadar berpatutan sahaja memandangkan kita diajar supaya berjimat. Malah, kita kena sedar banyak orang yang tidak makan.
"Jadi, kita tidak patut melakukan pembaziran dengan membeli bufet Ramadan yang harga tidak munasabah," katanya ketika diminta ulas harga bufet Ramadan yang menawarkan harga tidak masuk akal hingga sehingga RM230 untuk seorang dewasa di premis tertentu.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Iftar dan Tarawih bersama Anak-anak Yatim, Tahfiz dan Ahli PPMKu yang turut dihadiri Penaung PPMKu, Datuk Jawahar Ali Taib Khan di sebuah hotel di sini semalam.
Menurutnya, pengusaha hotel turut diminta mencari jalan untuk menawarkan harga berpatutan dan kaedah bersesuaian demi meraikan golongan tidak berkemampuan pada bulan Ramadan.
"Janganlah asnaf kelaparan, tetapi kita kekenyangan. Ramadan adalah bulan keinsafan, jadi lebih baik dan afdal kita hidup kesederhanaan pada bulan ini," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan tinjauan wartawan di hotel-hotel bertaraf empat dan lima bintang di Kuala Lumpur serta Petaling Jaya mendapati lebih 27 buah hotel menawarkan pakej bufet Ramadan pada harga RM100 ke atas untuk seorang dewasa.
Lebih mengejutkan terdapat empat buah hotel pula menawarkan bufet Ramadan pada harga hampir tidak logik sehingga RM230 untuk seorang dewasa.
Dalam pada itu Che Hassan yang juga ahli Kelab Kesatuan Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas) berkata, sehingga kini PPMKu yang memiliki 500 ahli pernah membongkar beberapa kes kepenggunaan termasuklah di Langkawi.
"Kita bukanlah hendak bersaing dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebaliknya berganding bahu dengan matlamat sama.
"Saya berharap kira-kira 11,000 ahli Kupekmas dapat menjadi mata telinga kepada persatuan pengguna untuk menyalurkan maklumat berkaitan," katanya.
Sehubungan itu, beliau akan berhubung dengan Kupekmas bagi membincangkan cadangan untuk bekerjasama dengan ahli kelab itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!