PPN Kelantan fail saman pemula terhadap Salahuddin

Abdul Aziz Derashid (dua, kanan) Aimi (tengah) meneliti permohonan saman yang difailkan mereka sambil diperhatikan Nadzri (kiri) dan Awang kanan.
Abdul Aziz Derashid (dua, kanan) Aimi (tengah) meneliti permohonan saman yang difailkan mereka sambil diperhatikan Nadzri (kiri) dan Awang kanan.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kelantan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bachok memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi memohon satu deklarasi berkait Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 bertarikh 22 April 2019 adalah tidak sah dan terbatal.

Plaintif iaitu Anggota Jemaah Pengarah PPN Kelantan, Datuk Aimi Jusoh dan Pengerusi Anggota Jemaah Pengarah PPK Bachok, Datuk Awang Daud memfailkan saman itu melalui Tetuan Aziz Derashid Rosdin & Co dengan menamakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Peguam PPN Kelantan Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, antara alasan permohonan dibuat termasuklah plaintif tidak dirujuk atau dirunding atau dimaklumkan lebih awal sebelum Peraturan (Pindaan) 2019 tersebut diluluskan.

“Defendan bertindak secara 'ultra vires' apabila mewujudkan peraturan pindaan berkenaan.

"Tindakan defendan-defendan yang meluluskan Peraturan (Pindaan) 2019 dipercayai bertentangan dengan Artikel 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Aimi, Awang dan Pengerusi PPN Perak Datuk Nadzri Ismail.

Beliau berkata plaintif juga memohon satu injunksi interim supaya Peraturan (Pindaan) 2019 tersebut tidak berkuatkuasa sehingga kes saman tersebut selesai.

“Kedua-dua plaintif turut memohon Mesyuarat Agung Tahunan PPK yang sepatutnya dibuat selewat-lewatnya 31 Julai 2019 ditangguhkan sehingga penyelesaian kes,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aimi mendakwa Salahuddin cuba campur tangan dalam PPN dengan menukar undang-undang bagi membolehkan beliau melantik secara terus perwakilan dalam pertubuhan itu.

“Sebelum ini pada 2016 sembilan Anggota Jemaah Pengarah PPN dilantik secara demokrasi oleh anggota di peringkat akar umbi manakala menteri boleh melantik empat anggota secara terus.

“Selepas Peraturan (Pindaan) 2019 diwartakan pada 1 Mei lepas, menteri boleh melantik lima perwakilan secara terus manakala akar umbi hanya boleh memilih empat wakil dalam pertubuhan ini.

“Tindakan ini tidak adil kerana kerajaan tidak perlu campur tangan dalam urusan lantikan perwakilan kerana ia boleh mengganggu pertubuhan berkenaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perubahan LPP diteruskan, tidak patah balik

Terdahulu, Salahuddin berkata, pelaksanaan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 adalah untuk kebaikan semua pihak di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) khususnya untuk kepimpinan pertubuhan itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, kepimpinan LPP perlu diremajakan semula, bagi memastikan pertubuhan itu dapat membuat reformasi baharu untuk lebih maju dan mengorak langkah ke hadapan.

"Pada peringkat awal ini kita telah buat pindaan. Walaupun ada segelintir yang tidak bersetuju tetapi saya yakin 900,000 anggota peladang boleh terima pindaan ini, dan melihat tentang objektifnya.

"Bagi mereka yang membantah... itu hak mereka. Saya dengar dan teliti (bantahan), tetapi perubahan harus diteruskan. Saya tidak boleh berpatah balik dan saya harus melangkah ke hadapan demi kebaikan anggota peladang," katanya.

Warta berkenaan telah dibuat pada 19 April lepas oleh Pengerusi LPP, Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Salahuddin serta dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu.

Pindaan tersebut meliputi tiga peringkat iaitu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Nafas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!