KRT redah banjir agih bantuan
Pengerusi KRT Gong Baru, Mohd Hanafiah Ismail berkata, sebanyak lapan rumah didapati dinaiki air sehingga masuk ke dalam rumah sementara empat keluarga dari Kampung Gong Nangka, Gong Tok Nasek sudah pun berpindah setakat petang, kelmarin.
"Kami redah banjir menuju ke lapan rumah penduduk yang menjadi mangsa banjir dengan menyumbang barangan makanan sebagai bantuan awal kepada mangsa yang tidak berpindah.
"Ada juga sesetengah daripada mangsa ini masih lagi ada ruang untuk dijadikan tempat berteduh menyebabkan mereka membuat keputusan tidak berpindah, sementara yang tiada ruang langsung telah ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Hanafiah berkata, banjir kali ini adalah yang terburuk berlaku di kampung itu dan kebanyakan penduduk yang menjadi mangsa banjir tidak menyangka perkara ini malah mereka tidak melakukan sebarang persiapan langsung.
Perkara itu turut diakui seorang mangsa banjir, Rozlan Abdul Ghani yang tinggal di Kampung Gong Nangka, Gong Tok Nasek sejak 25 tahun lalu berkata, dia sekeluarga tidak menyangka hujan lebat beserta air pasang bermula awal pagi semalam menyebabkan banjir.
"Air masuk ke dalam rumah di bahagian dapur hampir paras 0.5 meter dan air masih bertakung mungkin disebabkan masalah parit atau longkang tersumbat.
"Ini kali kedua banjir teruk sejak saya tinggal di sini 25 tahun lalu, dulu pernah berlaku sekali kejadian sama iaitu 20 tahun lalu tetapi tidak seteruk ini sehingga banyak barang di dapur tidak sempat diselamatkan termasuk perabot,” katanya.
Bagaimanapun, Rozlan berterima kasih kepada pihak yang tampil menghulurkan bantuan walaupun dia dan keluarga tidak berpindah ke pusat pemindahan.
Sebanyak lapan rumah dinaiki air sementara empat keluarga dari Kampung Gong Nangka, Gong Tok Nasek sudah berpindah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!