Polis semak semula kes sabit bekas CEO telekomunikasi
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis kini dalam proses menyemak semula laporan yang diterima sejak 2015 membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat telekomunikasi termasuk dakwaan mencabul anaknya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata sejumlah 17 laporan polis diterima sejak tahun itu yang dibuat oleh anak dan isteri bekas CEO terbabit.
Beliau berkata, semakan semula itu dibuat berikutan sebelum ini ada yang diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) selepas pihaknya berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara kerana tidak mempunyai keterangan atau bukti yang mencukupi.
“Apabila bukti tidak mencukupi maka ia diklasifikasi sebagai NFA (no further action) oleh Jabatan Peguam Negara.
"Kami akan semak semula dan jika perlu mendapatkan bukti atau kenyataan tambahan untuk membantu siasatan kes ini, ia akan dilakukan dengan segera,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bungkusan kuih raya PDRM sempena Hari Raya Aidilfitri di Bukit Aman.
Abdul Hamid berkata, PDRM tidak pernah menutup kes itu sebaliknya bersedia untuk menerima dan mencari sebarang bukti baharu.
“Untuk kes itu kami NFA buat sementara waktu, sekiranya ada bukti yang lebih dan sahih kami akan bawa pada pihak Jabatan Peguam Negara untuk dipertimbangkan bagi membuat pendakwaan,” katanya.
Sabtu lepas, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bekas CEO sebuah syarikat telekomunikasi ditahan selepas didakwa mencabul anak gadisnya.
Terdahulu, pada majlis itu, sebanyak 3,710 bungkusan kuih raya akan diagih kepada warga PDRM yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri sebagai ingatan tanda tulus ikhlas kepada mereka.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!