PKR Perak selar tindakan berpolitik dalam masjid
IPOH - PKR Perak menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melarang sebarang program berkaitan politik dianjurkan di dalam masjid dan surau serta menyelar sebarang tindakan ke arah itu oleh mana-mana pihak.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pihaknya turut memperingatkan pemimpin PKR cabang supaya menghormati rumah ibadat dan menjaga silaturahim antara satu sama lain.
"Pada masa ini, tiada laporan menuding jari ke arah PKR, namun semua ahli akar umbi sentiasa diingatkan untuk tidak mencemarkan masjid dengan sebarang aktiviti politik.
"Politik bersifat sementara, namun hubungan persaudaraan ummah adalah selamanya. Saya sudah maklum kepada kepimpinan PKR di peringkat cabang agar lebih berhemah, beradab dalam politik di samping menjadikan titah Tuanku Sultan Perak sebagai satu iktibar," katanya kepada media di sini semalam.
Farhash Wafa Salvador berkata, jika ada pihak melakukan kesalahan menggunakan platform masjid dan surau untuk aktiviti politik, sudah tentu pihak berkuasa akan menjalankan tanggungjawab mereka.
"Inilah prinsip reformasi didukung PKR dan saya menegaskan PKR Perak menyelar sebarang aktiviti berpolitik di rumah ibadat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!