Tiga maut tercampak, tersepit dalam treler terbakar

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mangsa. Foto - Ihsan bomba
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mangsa. Foto - Ihsan bomba
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Tiga lelaki maut selepas sebuah treler tangki muatan simen dinaiki mereka terbabas memasuki gaung dan terbakar di Jalan Ulu Tebrau di sini hari ini.

Mangsa yang maut di tempat kejadian adalah pemandu treler, Zuhairy Zainol, 31, dan kelindan yang juga adiknya, Muhammad Afiq, 19, selepas mereka tersepit dan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi.

Manakala, seorang lagi kelindan, Muhammad Afandey Ahmad, 20, yang tercampak keluar dari lori itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika treler itu dalam perjalanan dari Ulu Tiram menghala ke Felda Ulu Tebrau.

Anggota bomba ketika melakukan kerja mengeluarkan mangsa tersepit. Foto - Ihsan bomba
Anggota bomba ketika melakukan kerja mengeluarkan mangsa tersepit. Foto - Ihsan bomba

"Apabila sampai di tempat kejadian, treler dipandu Zuhairy dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum treler itu terbakar.

"Zuhairy dan kelindannya Muhammad Afiq tersempit dan meninggal dunia kerana terbakar manakala, seorang lagi kelindan tercampak keluar dari lori" katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan lanjut masih lagi dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komander operasi kes tersebut, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Amdzah berkata, satu jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya dikerahkan ke tempat kejadian.

"Kita turut menerima bantuan satu jentera dengan tujuh anggota bersama satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau serta satu water tanker bersama tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru," katanya.

Sementara itu, rakan Zuhairy, Azhar Fauzi Ibrahim, 27, berkata, sahabatnya itu seorang peramah dan sering membuat lawak namun menjadi pendiam kebelakangan ini.

"Saya berkawan dengan arwah sudah lebih empat tahun, kami sama-sama sebelum ini bekerja di Pengerang, Kota Tinggi. Saya perasan sejak akhir-akhir ini dia kurang mahu berbual dalam kumpulan WhatsApp kami.

"Saya kira mungkin sekarang bulan Ramadan dan dia mungkin sibuk bekerja," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Ismail di sini hari ini.

Menurutnya, mereka berdua sudah lama tidak bertemu dan kali terakhir hanya berhubung melalui perbualan secara video, lima hari lalu.

"Ketika itu, arwah begitu teruja bercerita tentang persiapan raya. Saya benar-benar terkejut mendapat berita pemergiannya, apatah lagi minggu depan nak raya.

"Memang ada dalam perancangan mahu beraya di rumahnya di Pahang, namun tidak kesampaian. Arwah juga memang rapat dengan adiknya, Muhammad Afiq dan selalu membawanya ke mana-mana," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Razif Ahmad, 34, dia turut bersedih kerana melihat sendiri kejadian kebakaran melibatkan treler berkenaan sebelum pihak bomba tiba memberi bantuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!