Sokong, bantu Tok Mat: Khaled
JOHOR BAHRU - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa ahli Umno di semua peringkat menyokong dan membantu Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan tugas selaku Presiden.
Menurutnya, penyerahan tugas Presiden antara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno merupakan permulaan kepada usaha mereformasi parti.
“Saya menyeru semua penyokong dan ahli parti, sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri untuk bersama mendukung dan membantu Datuk Seri Mohamad Hasan dalam menjalankan amanahnya.
“Ini permulaan kepada usaha mereformasi parti kita. Setelah lebih enam bulan menempuhi kekalahan dan pelbagai rintangan, diharapkan agenda Islah parti akan terus subur di bawah kepimpinan baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, beliau menyeru kepada orang Melayu umumnya, untuk bersatu dan terus memberi bantuan, pandangan dan kritikan membina bagi kelangsungan parti serta agenda memajukan bangsa Melayu.
Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid di atas peletakan jawatannya dan menyerahkan tugas presiden kepada Mohamad berkuat kuasa serta merta.
Katanya, sesungguhnya Umno akan sentiasa berterima kasih atas tindakan berjiwa besar itu.
“Segala jasa baik dan amal budi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dikenang jua. Terima kasih yang mendalam juga atas khidmat bakti yang dicurahkan dan pengorbanan tanpa lelah serta ikhlas kepada Umno. Semoga segala yang demikian diperkirakan sebagai amal soleh hendaknya.
“Semoga ALLAH SWT memberikan kesabaran, kekuatan dan ketenangan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menghadapi cabaran peribadinya. Begitu juga kita mendoakan Allah SWT memberikan Taufiq dan Hidayah-Nya ke atas Datuk Seri Mohamad Hasan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!