'Kay Kim banyak beri nasihat mengenai sejarah'

Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita baginda atas pemergian Kay Kim yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di PPUM pagi tadi.
Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita baginda atas pemergian Kay Kim yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di PPUM pagi tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan pemergian tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebagai kehilangan besar kepada negara.

Menerusi satu kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasmi Selangor Royal Office, baginda bertitah sudah mengenali mendiang sejak sekian lama menerusi aktiviti ‘Royal Asiatic Society’.

Titahnya, mendiang banyak memberi pandangan dan nasihat kepada baginda mengenai isu-isu semasa terutama yang menyentuh aspek-aspek sejarah dan arena sukan.

“Beta zahirkan rasa sedih dan dukacita mendengar berita mengenai pemergian Kay Kim.

”Beta dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ucap takziah kepada isteri mendiang, Puan Sri Rathi Khoo dan anak-anak mendiang, Eddin, Rubin dan Mavin,” titahnya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkata, baginda mengagumi sumbangan mendiang sebagai salah seorang individu yang menggubal Rukun Negara.

Titahnya, baru-baru ini, mendiang juga membantu baginda menerbitkan sebuah buku merangkumkan sejarah Bola Sepak Selangor yang bakal dikeluarkan akhir tahun ini.

”Beta yakin legasi mendiang Tan Sri Dr Khoo Kay Kim akan terus terpahat dalam sejarah Malaysia dan akan terus menyumbang kepada pembangunan modal insan di negara ini,” titahnya dalam kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Baginda berkata, bagi mengenang jasa-jasa mendiang kepada negeri Selangor, mendiang Kay Kim dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada tahun 2009.

Kay Kim, 82, dilapor meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 10.13 pagi tadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!