Suruhanjaya Tenaga diarah siasat bil elektrik tinggi
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah mengarahkan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menyiasat aduan pengguna mengenai bil elektrik yang tinggi yang dikenakan Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya menerima lebih 300 aduan dari seluruh negara berhubung isu bil elektrik tinggi itu dan ST akan mengambil tempoh 14 hari untuk menyiasat sama ada aduan itu adalah kesilapan TNB.
ARTIKEL BERKAITAN: Bil elektrik naik: TNB diminta buat penjelasan
Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap TNB jika syarikat utiliti itu didapati tidak memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990, di mana ia perlu memenuhi standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan pengguna.
Bee Yin dalam sidang media di sini hari ini berkata, pihak TNB telah berjumpa dengan ST hari ini dan telah mengemukakan antara tiga alasan berhubung isu bil elektrik naik mendadak.
Namun, katanya pihak ST tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan, dan oleh itu siasatan seterusnya akan dijalankan.
"Bagi ST masa untuk menyiasat dan kemudian satu laporan menyeluruh akan dikemukakan.
“Kami memberi jaminan kepada pengguna yang mendapat bil yang tidak munasabah bahawa aduan mereka akan didengari dan berharap TNB dapat menanganinya sebelum pengguna pergi ke ST kerana ia sepatutnya bukan saluran untuk aduan orang ramai,” katannya.
Menurut Bee Yin, dalam pertemuan antara ST dan TNB itu, syarikat utiliti itu itu telah menyatakan tiga alasan kepada ST antaranya mengenai pembilan yang dibuat melebihi 30 hari, malah ada kes di mana bil eletrik dikira sehingga 38 hari.
Antara alasan yang diberikan TNB itu juga menunjukkan terdapat 'kecuaian' teknikal di pihak syarikat utiliti itu dan oleh itu, TNB perlu bertanggungjawab sepenuhnya, katanya.
Menurut Bee Yin, TNB boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 bagi setiap kes yang diadukan oleh pengguna sekiranya didapati bersalah.
Selain itu, katanya TNB yang juga pemegang lesen dalam isu itu boleh dicaj RM500 sehari atas sebab kelewatan menyelesaikan kes pengguna
Bee Yin menyeru orang ramai untuk menyemak bil eletrik mereka dengan TNB terlebih dahulu sebelum mengemukakan aduan kepada ST jika tidak mendapat layanan adil.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan lebih tinggi iaitu sebanyak 359 aduan pada bulan ini sahaja, iaitu aduan berkaitan meter pintar dan kenaikan bil yang tinggi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!