MB Terengganu sahkan Epic Berhad sedang disiasat
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa yang berlaku sebenarnya adalah prosedur biasa apabila terdapat sesuatu aduan yang perlu dibuat siasatan lebih lanjut.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung sekeping gambar yang tular difahamkan pintu Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu dikunci yang dimuat naik dalam facebook, Isnin lalu.
Keterangan gambar yang tular itu ditulis, pintu itu dikunci sejak Jumaat dan meminta penjelasan lanjut daripada Ahmad Samsuri.
Menurut beliau, ahli lembaga pengarah syarikat (Epic) telah berbincang dan beberapa langkah telah dibuat supaya proses siasatan itu dapat dijalankan dengan telus dan adil.
"Maka langkah sedemikian (kunci pintu) itu dibuat oleh kerana ia melibatkan siasatan yang sedang berjalan dalam beberapa perkara yang saya tak dapat bagi lebih lanjut.
"Siasatan apa, siapa yang disiasat, bagaimana, bila, kenapa disiasat itu adalah persoalan yang masih awal untuk diumumkan pada tahap ini, biarlah proses itu berjalan, selesai barulah kita maklumkan pada awam," katanya dalam satu sidang media sempena Majlis Repsol Media Night 2018, di sini, malam tadi.
Ahmad Samsuri berkata, siasatan itu dijalankan dengan cermat, teliti, telus dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil apa jua tindakan dan ia adalah proses biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan proses dalaman.
Katanya, buat masa ini siasatan dijalankan oleh komiti dalaman syarikat sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!