Pemimpin negara zahir ucapan takziah

Sejarawan terkemuka negara Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira 10 pagi tadi. - Foto Bernama
Sejarawan terkemuka negara Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira 10 pagi tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Para pemimpin negara menzahirkan ucapan takziah atas pemergian sejarawan dan ahli akademik Prof Emeritus, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya, pada 10.13 pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemergian sejarawan dan ahli akademik itu merupakan kehilangan cukup besar buat rakyat Malaysia.

“Beliau contoh unggul rakyat Malaysia, mempamerkan bagaimana untuk menjadi rakyat yang terbaik. Salam takziah buat keluarga mendiang dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam catatan di laman Twitter rasmi beliau, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarawan negara Khoo Kay Kim meninggal dunia

Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut berkongsi rasa dukacitanya atas pemergian Kay Kim sambil berkongsi sekeping gambar pertemuannya bersama mendiang pada tahun lepas.

“Berdukacita di atas pemergian sejarawan negara Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim. Masih segar dalam ingatan saya pertemuan kami ketika Dialog #MalaysiaBaru di Shah Alam lebih setahun kali. Takziah buat Puan Sri Rathi Khoo, saudara Eddin Khoo & keluarga,” tulisnya di Twitter.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyifatkan pemergian Kay Kim sebagai kehilangan besar buat negara.

“Menerima berita pemergian Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebentar tadi. Ini adalah kehilangan yang besar bagi rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Semua sumbangan beliau tidak akan dilupakan, apatah lagi beliau merupakan nadi dalam penulisan Rukun Negara. Takziah kepada keluarga beliau,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mendiang adalah tokoh yang berjasa besar kepada negara.

“Salam takziah saya ucapkan kepada ahli-ahli keluarga mendiang tokoh sejarawan dan ahli akademik Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang telah meninggal dunia pagi tadi. Jasa Tan Sri kepada negara cukup besar. Kehilangan ini satu kehilangan yang tiada ganti,” tulisnya.

Selain itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar adalah antara pemimpin yang turut menzahirkan ucapan takziah.

Kay Kim yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!