Pegawai PGA tolak rasuah RM10,000

Abdullah (kanan) dan Ramly menunjukkan wang tunai berjumlah RM10,000 yang ditawarkan oleh dua lelaki kepada anggotanya.
Abdullah (kanan) dan Ramly menunjukkan wang tunai berjumlah RM10,000 yang ditawarkan oleh dua lelaki kepada anggotanya.
A
A
A

PASIR MAS - Habuan wang tunai berjumlah RM10,000 yang ditawarkan oleh seorang tauke daun ketum gagal menggugat integriti seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu apabila dia menolak rasuah tersebut.

Rasuah itu ditawarkan oleh dua lelaki ketika kegiatan pengedaran ketum yang dijalankan bersama tiga lagi rakannya berjaya dihidu oleh PGA Batalion 9 Kuala Terengganu dalam serbuan di Kampung Kedondong, kira-kira jam 6.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, rasuah tersebut ditawarkan ketika pegawai PGA itu mahu membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Kemudian datang seorang lelaki berusia 32 tahun membawa sejumlah wang lalu diserahkan kepada rakannya berumur 31 tahun.

"Suspek berusia 31 tahun itu mencuba nasib dengan menawarkan sogokan berjumlah RM10,000 dengan harapan supaya kesemua yang terlibat dibebaskan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media rampasan daun ketum di IPD Pasir Mas hari ini.

Turut hadir, Komander PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Ramly Poncho.

Menurutnya, kes tersebut diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Tanpa berselindung, Abdullah mengucapkan tahniah kepada pegawai berkenaan di atas sifat terpuji yang diperagakan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sikap itu perlu dijadikan contoh selaras dengan kehendak pihak jabatan.

"Saya akui jumlah itu agak besar dan lumayan, namun pegawai berkenaan tetap memperagakan integriti tinggi dengan menolak rasuah.

"Dalam kita berdepan tohmahan (tidak berintegriti), itu hanyalah segelintir sahaja. Tetapi saya boleh katakan hampir keseluruhan anggota polis masih berpegang kepada sikap tersebut," katanya.

Sinar Harian 20 Mei lalu melaporkan, seorang anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu berpangkat sarjan telah menolak habuan berjumlah RM1,600 yang telah ditawarkan oleh seorang lelaki warga Thailand.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!