Tengku Mahkota, Cik Puan Sofie lawat HRPZ II
KOTA BHARU - Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan pasangannya, Cik Puan Sofie Louise Johansson berkenan melawat pesakit di wad Puteri dan Anggerik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Baginda dan pasangan tiba jam 3.25 petang disambut Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali dan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zaini Husin.
Dalam ziarah tersebut, baginda Tengku meluangkan masa lebih sejam beramah mesra dengan pesakit dan kakitangan hospital.
Baginda turut perkenan menyumbang zakat kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia HRPZ II sebanyak RM30,000 dan mengurniakan sumbangan peribadi baginda kepada 67 pesakit di dua wad tersebut.
Turut mengiringi baginda, Tengku Temenggong yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Tengku Kaya Perkasa, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi ketika sidang media memberitahu, MAIK telah memperuntukkan RM10 juta zakat dalam pelbagai bentuk sumbangan untuk Ramadan kali ini.
"Untuk RM30,000 itu memang sumbangan kita setiap tahun dan ia akan digunakan pihak hospital untuk kegunaan kecemasan pihak hospital dan sebagainya.
"Baginda Tengku amat prihatin kepada kebajikan rakyat negeri ini dan sentiasa bertanya dan mengambil berat keluarga-keluarga yang daif dan miskin.
"Baginda memang seorang yang berjiwa rakyat, sekiranya mendengar kesusahan rakyat, baginda terus akan turun padang menziarah dan beri sendiri sumbangan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, salah seorang pesakit wad Puteri, Zukirah Noh, 64 tahun berkongsi kegembiraannya apabila Tengku Mahkota yang sering kali dilihat melalui dada akhbar kini berada di depan mata.
"Saya teruja, terharu sebab baginda Tengku dan Cik Puan sudi ziarah kami di sini. Terima kasih Tuanku kerana beri sumbangan dan ambil berat kebajikan kami di sini," katanya yang kini sedang menjalani rawatan batu karang.
Perkara yang sama juga dikongsikan ibu kepada seorang kanak-kanak, Wan Muhammad AlIman Akif Wan Muhammad Aiman yang ditahan di wad Anggerik yang teruja dengan kehadiran baginda dan isteri.
Siti Nur Irdiyana Azmi, 25 tahun merasa sangat bertuah kerana anaknya berpeluang bermesra dengan Cik Puan Sofie dan baginda Tengku.
"Sebelum ini saya hanya tengok dalam surat khabar tapi saya macam tak percaya apabila rezeki Al Iman dapat bermesra dengan baginda walaupun sekejap sahaja.
"Terima kasih baginda Tuanku dan isteri kerana sudi hadir ziarah saya dan anak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!