Polis senaraikan 10 hotspot kemalangan di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menyenaraikan 10 kawasan kerap kemalangan di seluruh daerah di ibu negara ini yang akan diberikan tumpuan khusus dalam Op Selamat 15 sempena Aidilfitri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lokasi tersebut adalah Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta dan Jalan Sungai Besi.
Menurutnya, perbandingan statistik Op Selamat 13/2018 dengan Op Selamat 11/2017 di Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan sebanyak 144 kes atau empat peratus.
"Op Selamat 13 mencatatkan 2,692 kes dengan 14 jumlah kemalangan maut berbanding tahun sebelumnya iaitu 2,599 kes dengan tujuh kemalangan maut," katanya pada sidang akhbar di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), di sini, selepas merasmikan Kempen Op Selamat 15, hari ini.
Beliau berkata, seramai 13 pegawai kanan polis dan 186 anggota terlibat sepanjang kempen yang bermula 29 Mei sehingga 12 Jun.
Katanya, pada Op Selamat kali ini, terdapat enam fokus utama kesalahan jalan raya yang ditekankan iaitu memandu melebihi jad laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong di garisan Q, tidak berhenti di lampu isyarat merah dan memandu menggunakan alat telekomunikasi.
"Kita amat menekankan kesalahan-kesalahan utama ini dan tidak akan berkompromi untuk memberi pengurangan saman," katanya.
Dalam pada itu, Polis Kuala Lumpur juga ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan di rumah dengan mengisi borang balik kampung di balai polis berdekatan atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memaklumkan ketiadaan penghuni di rumah.
Tambah Mazlan, pengguna jalan raya diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan dan berhenti sekiranya mengantuk selain memandu dengan berhemah serta bertimbang rasa.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh hubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!