Bersiap untuk gelombang kedua banjir
Situasi itu berbeza dengan kejadian banjir tahun-tahun sebelumnya apabila air naik mendadak menjejaskan 5,000 penduduk dari perkampungan pinggir Sungai Golok sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Penduduk Kampung Bendang Pak Yong, Siti Raihan Adam, 32, berkata, kebiasaannya air cepat naik sebaik sahaja air Sungai Golok melimpah.
"Banjir tak besar kali ini, sejak kelmarin lagi, air masih bertahan, mujurlah hari ini (semalam) hujan tak lebat, jadi air tak naik banyak.
Halaman rumah saya sedalam 0.5 meter sama seperti kelmarin,” katanya.
Siti Raihan berkata, walaupun banjir tidak teruk tetapi dia tetap membuat persiapan awal kerana lazimnya akan ada banjir gelombang kedua dan ketiga. Katanya, semua barangan elektrik dan perabot rumah diletakkan di tempat tinggi kerana khuatir rumahnya dinaiki air.
"Saya sekeluarga dalam keadaan berjaga-jaga sebab musim banjir belum habis lagi, bila-bila masa air boleh naik dengan cepat jika hujan turun dengan lebat,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian di Kampung Kubang Sawa, Bendang Pak Yong, Kajang Sebidang dan Simpangan mendapati jalan ke kampung ini boleh dilalui walaupun ada kawasan rendah dinaiki air.
Kawasan bendang dipenuhi air dan ada penduduk mengambil kesempatan menahan pukat.
Penduduk, Rohani Dollah, 45, berkata, setakat ini penduduk di sini masih boleh ke bandar seperti biasa menggunakan kenderaan.
"Walaupun ada jalan dinaiki air tetapi boleh dilalui oleh kenderaan ringan dan masih ada jalan alternatif lain sekiranya ada jalan terputus dinaiki air,” katanya.
Laman sesawang infobanjir.water.gov.my setakat jam 2 petang menunjukkan air Sungai Golok di Kuala Jambu mencecah 1.93 meter, menghampiri paras berjaga-jaga 2 meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!