Tujuh anggota polis disyaki terlibat kes samun dibebaskan

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim ketika berucap pada Majlis Perasmian Op 15/2019 Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri di pusat beli-belah Suria KLCC hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim ketika berucap pada Majlis Perasmian Op 15/2019 Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri di pusat beli-belah Suria KLCC hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh pegawai dan anggota polis serta enam individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun seorang ahli perniagaan pada 19 Mei lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua individu terbabit termasuk dua pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota dibebaskan selepas tempoh reman tamat hari ini.

"Siasatan hampir lengkap dan kertas siasatan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pegawai, lima anggota polis ditahan kes samun

"Ini kes serius dan saya tidak akan berkompromi dengn jenayah seperti ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Ops Selamat 15 peringkat Kuala Lumpur di Pusat Membeli Belah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, dua inspektor berkenaan, seorang dari Maktab Teknik PDRM, Muar, manakala seorang lagi pegawai Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta lima anggota lain melibatkan seorang dari IPD Petaling Jaya, tiga dari Balai Polis Sea Park dan seorang dari Balai Trafik, Jalan Bandar akan bertugas seperti biasa sehingga siasatan selesai.

Dalam kejadian 19 Mei lepas, seorang ahli perniagaan pengurup wang membuat laporan polis selepas disamun dan diperas ugut oleh sembilan individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih RM200,000.

Sementara itu, 13 pegawai kanan dan 186 pegawai rendah polis terlibat dalam Op Selamat 15 bermula hari ini hingga 12 Jun bagi mengawasi kelancaran keadaan lalu lintas serta keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, statistik tahun lalu menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan maut membabitkan 14 kematian berbanding tujuh kematian pada 2017 disebabkan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

"Polis Kuala Lumpur akan memberi tumpuan kepada kesalahan seperti memandu melebihi had laju dibenarkan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan, potong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 25,728 saman telah dikeluarkan dan 11 kematian tertinggi dicatat melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal pada Op Selamat 13, tahun lepas.

Mazlan berkata 10 lokasi kerap berlaku kemalangan akan diberikan tumpuan pengawasan iaitu Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, MRR2, Jalan Tun Razak, Jalan Kucing, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta dan Jalan Sungai Besi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!