Sampah longgok berair, busuk!

Lokasi sampah longgok di Jalan Klinik, Pekan Permas.
Lokasi sampah longgok di Jalan Klinik, Pekan Permas.
A
A
A
PONTIAN - Menjijikkan. Begitulah keadaan bahu jalan yang menjadi lokasi sampah longgok di Pekan Permas dan Penerok.

Bukan sehari dua, tetapi isu itu sudah berlarutan sejak hampir lima tahun lalu.

Meskipun Pekan Permas sudah menikmati kemudahan kutipan sampah berjadual selepas diletakkan sebagai kawasan percukaian, sampah longgok masih berlaku.

Ketua Kampung Sungai Durian, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, lokasi sampah longgok di Pekan Permas yang terletak di Jalan Klinik sudah wujud sebelum Pekan Permas diletakkan sebagai kawasan percukaian Majlis Daerah Pontian (MDP).

Katanya, perbincangan bersama penduduk sudah pun dilakukan bagi menutup tempat sampah longgok di Jalan Klinik selepas penduduk di Pekan Permas menikmati kemudahan kutipan sampah secara berjadual.

“Dulu terdapat tong diletakkan di Jalan Klinik. Jadi sampah dikumpulkan di situ sebelum diambil oleh pihak konsensi kutipan sampah.

“Masalah timbul lepas tiada tong di situ. Sampah dibuang di bahu jalan sampai melarat di sepanjang jalan,” katanya.

Jelasnya, walaupun kain rentang melarang pembuangan sampah di Jalan Klinik sudah dipasang, namun ia seakan tidak diendahkan apabila sampah terus dibuang di situ.

“Bukan setakat kain rentang, tetapi kawasan sampah longgok telah dipasang tali penghadang bagi elak orang buang sampah.
Artikel Berkaitan:


“Tapi sampah terus dibuang cumanya bukan dalam kawasan tali penghadang. Penuh sampah di luar kawasan tali penghadang,” katanya.

Beliau mengakui bimbang dengan isu sampah longgok yang tiada kesudahan itu meskipun sudah beberapa kali perbincangan dilakukan sebelum ini.

Katanya, jumlah sampah yang dibuang terus meningkat dibimbangi mengundang risiko kepada wabak penyakit dan kehadiran binatang seperti tikus, ular dan biawak.

“Lokasi sampah longgok di Jalan Klinik begitu dekat dengan Pekan Permas yang menjadi tumpuan penduduk untuk membeli barang keperluan harian, makanan dan minuman, selain menghantar anak mereka di sekolah yang terletak di Pekan Permas.

“Jika dibiarkan tanpa sebarang langkah mengurang dan mengatasi isu sampah ini, ia dibimbangi mengundang masalah lebih besar.

“Sampah yang berselerak atas jalan bukan sahaja berbau busuk dan berair. Tetapi ada binatang seperti lalat, tikus dan biawak. Ia juga boleh bawa penyakit kepada penduduk di Pekan Permas,” katanya.

Buka tapak sampah baharu



Bagi Ketua Kampung Penerok, Nor Razif Ahmad, beliau mahu tapak sampah baharu di Pekan Penerok dibuka bagi menggantikan tapak lama yang terletak di bahu jalan Pontian- Kukup.

Katanya, lokasi lama tapak pembuangan sampah di jalan Pontian–Kukup tidak sesuai kerana ia merupakan jalan utama di daerah ini untuk ke beberapa lokasi terpenting seperti Tanjung Piai, Pekan Kukup dan Tanjung Bin.

Oleh itu, tapak pembuangan sampah di Pekan Penerok perlu dipindahkan kerana lokasi lama tidak sesuai selain memberi imej buruk kepada daerah Pontian.

Kain rentang larangan membuang sampah di Jalan Klinik, Pekan Permas.
Kain rentang larangan membuang sampah di Jalan Klinik, Pekan Permas.



Nor Razif memberitahu, tapak baharu yang dicadangkan berdekatan sebuah resort di Kukup amat sesuai kerana lokasinya agak jauh dari kediaman penduduk.

Beliau mengharapkan lokasi baharu tersebut diterima penduduk sebagai langkah sementara bagi menyelesaikan isu sampah di Pekan Penerok.

“Sebelum ini ada inisiatif diambil untuk alihkan tong sampah itu ke kawasan dekat gerai rakyat. Lepas tu alih ke Kampung Sungai Buntu.

“Kita faham tiada siapa yang hendakkan sampah. Jadi kami perlu cari tempat yang sesuai dan jauh yang kediaman penduduk,” katanya.

Sampah mendatang



Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun isu sampah longgok di Pekan Permas dan Penerok dipercayai dibuang orang luar.

Justeru, tindakan perlu dilakukan bagi memastikan kawasan kediaman penduduk di kedua-dua pekan itu tidak terus menjadi lokasi pembuangan sampah longgok.

Hasil perbincangan bersama Ahli Majlis Daerah Pontian, Ghazaley Ayub, Ketua Kampung, wakil SWCorp dan penduduk, pelbagai langkah dicadangkan bagi mengatasi isu tersebut.

Bagaimanapun ada yang berpendapat sampah akan terus dibuang di tapak lama biarpun tiada tong sampah disediakan kerana mereka sudah terbiasa membuang sampah di situ.

Pindah lokasi tempat pembuangan sampah



Ahli Majlis Daerah, Ghazaley Ayub berkata, arahan sudah dikeluarkan bagi menutup tapak sampah longgok yang terletak di bahu jalan utama sudah pun dikeluarkan.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan supaya tidak dibenarkan sampah-sampah dibuang di tepi jalan di seluruh negeri Johor.

“Kami memandang serius arahan itu memandangkan terdapat tapak sampah longgok di tepi jalan Penerok yang merupakan laluan utama dari bandar Pontian ke Tanjung Bin, Pekan Kukup dan Tanjung Piai.

“Malah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian sendiri pernah mengadakan lawatan ke Kukup pada September lalu,” katanya.

Menurut Ghazaley, hasil perbincangan dilakukan bersama ketua kampung, penduduk dan wakil SWCorp beberapa langkah dan cadangan akan dikemukakan kepada Majlis Daerah Pontian (MDP) bagi tindakan susulan.

Katanya, bagi isu tapak sampah longgok di Jalan Klinik Permas, pihaknya akan cuba dapatkan semula tong memudahkan sampah dikumpul dan tidak lagi dibuang di atas jalan raya atau bahu jalan.

“Lebih banyak papan tanda turut dicadangkan diletakkan di Jalan Klinik Permas supaya sampah tidak dibuang bersepah sebaliknya perlu dimasukkan ke dalam tong.

“Usaha mendidik masyarakat buang sampah dalam tong dan bukan di tepi tong atau atas jalan raya perlu dilakukan,”katanya.

Bagi kawasan di Pekan Penerok pula, sebuah tapak baharu sudah dikenal pasti bagi menggantikan tapak lama sampah longgok di Pekan Penerok.

“Rasanya tiada masalah tapak baharu yang terletak di kawasan Jalan Lama Sungai Buntu. Diharap tapak lama di Jalan Pontian-Kukup akan segera ditutup kerana kawasan berkenaan tidak lagi sesuai,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Penguatkuasa SWCorp berpuas hati dengan sesi perbincangan yang diadakan bersama penduduk, ahli majlis dan ketua kampung.

Katanya, langkah mengadakan perbincangan sangat bagus kerana penyelesaian secara bersama dan menang-menang dapat dicari.

Bagaimanapun, beliau menegaskan terdapat peruntukkan undang-undang bagi mengatasi isu sampah longgok tersebut.

“Buat masa ini kita harap penduduk berikan kerjasama dengan membuang sampah dalam tong. Tindakan tidak memasukkan sampah dalam tong menyebabkan sampah berselerak.

“Penduduk juga perlu mengamalkan budaya kitar semula bagi mengurangkan sisa pepejal sampah yang dibuang setiap hari,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!