Kolaborasi dengan Manchester City pasti jadi kenyataan

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan akan memastikan kolaborasinya dengan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, menjadi kenyataan.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, mesyuarat mengenainya diadakan di bangunan Kementerian itu Khamis lepas, melibatkan kehadiran Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

“Dalam mesyuarat itu bukan hanya saya seorang. Pegawai saya dan pegawai Manchester City juga ada, mereka dengar (berkaitan pembelian kelab) dan sebelum sidang media juga saya telah maklumkan untuk bercakap mengenai dua perkara berkenaan. Ia dipersetujui.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik Manchester City beli pasukan bola sepak di Malaysia?

“Sesetengah orang langsung tidak boleh menerimanya (berita ini) tapi tak apalah, ia bermakna kita perlu bekerja keras untuk melaksanakannya, bukan itu sahaja, tapi juga dari segi kolaborasi masa hadapan dengan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (MDA).

“Apa yang saya mahu ialah semua orang, tidak kira siapa, untuk datang dan bersama kita bina bola sepak negara,” katanya.

Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa disebabkan perancangan dalam tempoh yang terlalu singkat, wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak dapat menghadiri mesyuarat dengan CEO Manchester City Ferran Soriano itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul dari CIMB kerana menghadiri mesyuarat itu. Kami akan memaklumkan FAM mengenainya,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung perbincangannya dengan pemilik Manchester City Khamis lepas, Syed Saddiq berkata pemilik kelab itu sedang menimbang kemungkinan membeli salah satu daripada kelab bola sepak di Malaysia.

Menurutnya ia adalah satu daripada dua pelan awal yang dibincangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan delegasi Manchester City yang diketuai oleh CEO Ferran Soriano dalam pertemuan di Menara KBS minggu lepas.

Dari perspektif kementerian, Syed Saddiq berkata beliau berharap kolaborasi itu juga akan memberikan impak positif kepada pembangunan belia menerusi NFDP dan juga Akademi Mokhtar Dahari di Gambang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!