PATI di Kampung Baru, Chow Kit diberkas
KUALA LUMPUR - Seramai 134 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun ditahan dalam operasi bersepadu di Kampung Baru dan Chow Kit, di sini, tadi.
Operasi kira-kira jam 9.15 malam dilakukan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menteri Dalam Negeri,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seramai 235 orang diperiksa dalam operasi ini dan hasilnya, seramai 134 PATI membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar ditahan.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen, salah guna pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
"Terdapat juga warga asing yang diperiksa mempunyai pas lawatan kerja sementara PLKS dan Pas Pelajar selain terdapat antara mereka ini mengambil mudah dengan tidak membawa apa-apa dokumen seperti pasport ataupun i-kad.
"Sikap begini amat tidak mencerminkan kesedaran dan tanggungjawab mereka sebagai warga asing yang berada di Malaysia dan seterusnya tidak menghormati undang-undang dalam negara ini," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Mengulas lanjut, sepanjang tempoh bermula 1 Januari sehingga 27 Mei 2019, sebanyak 7,501 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dilaksanakan.
Seramai 95,029 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 22,473 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Tambahnya, selain itu, seramai 577 orang majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu. Seramai 11,994 PATI dan 312 orang majikan telah didakwa dan diambil tindakan.
"Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warganegara Indonesia dengan tangkapan seramai 16,098 orang, diikuti oleh warganegara Bangladesh (10,039 orang), Filipina (4,669 orang), Myanmar (4,155 orang) dan bakinya adalah dari negara-negara lain.
"Jumlah keseluruhan PATI yang telah diusir pula adalah seramai 28,853," katanya.
Tegasnya, usaha membanteras PATI memerlukan kerjasama semua pihak, bukan hanya Imigresen dan agensi keselamatan sahaja, tetapi dengan kerjasama persatuan penduduk bagi kawasan perumahan di bandar, dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membantu melalui penyaluran maklumat jika didapati sesuatu kawasan didiami oleh PATI, atau majikan tertentu menggaji PATI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!