Niat mahu solat berakhir tragedi
Muhammad Khaidir, 23, maut akibat kecederaan parah di kepala setelah dipukul beramai-ramai menggunakan kayu dalam insiden di sebuah masjid di Kabupaten Gowa, Sulawesi Selatan pada 10 Disember lalu.
Menurut Ketua Polis Gowa, AKBP Shinto Silitonga, pada hari kejadian mangsa yang juga seorang mahasiswa datang untuk solat di masjid berkenaan namun pintunya berkunci.
Khaidir kemudian mengetuk pintu rumah seorang penduduk berinisial YDS yang tinggal berhampiran masjid untuk meminta agar pintu masjid dibuka.
Setelah ketukan tidak mendapat balasan, mangsa kembali ke masjid, dalam masa sama YDS yang mendengar ketukan kuat di pintunya berasa terancam lalu melarikan diri ke masjid melalui pintu lain.
Di masjid, YDS bertemu bilal lalu menceritakan apa yang terjadi, bilal kemudian membuat pengumuman melalui pembesar suara bahawa terdapat pencuri di kawasan masjid.
Sementara itu, Khaidir yang tidak mengesyaki apa-apa yang buruk terus berlegar di sekitar masjid.
Pengumuman tersebut menyebabkan beberapa orang penduduk bergegas ke masjid dan menemui Khaidir di situ, tanpa soal siasat, mangsa dipukul beramai-ramai sehingga mengalami kecederaan di seluruh badan termasuk kepala.
Setakat ini, 10 suspek termasuk dua remaja berusia 16 dan 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis mengesahkan tiada sebarang bukti menunjukkan Khaidir adalah pencuri dan pihaknya berasa kesal kerana penduduk melaksanakan undang-undang sendiri tanpa usul periksa.
Jenazah Khaidir telah diserahkan kepada keluarganya di Kepulauan Selayar setelah menjalani autopsi. - Detik.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!