10 malam terakhir Ramadan

A
A
A

KINI kita telah menjejak ke-10 akhir Ramadan. Detik di mana kemuncak perjuangan ibadah bagi setiap Muslim dengan mengharapkan keredaan Ilahi di atas setiap amal kebaikan terutama dalam mengajar dan mendapatkan ganjaran lailatul qadar iaitu malam di mana ganjarannya adalah lebih baik daripada seribu bulan.

Tempoh ini adalah menjadi ruangan fokus ibadah bukan sahaja dilakukan oleh umat pada zaman ini sahaja. Bahkan ada di kalangan ulama-ulama silam yang menghentikan kelas-kelas pengajian semata-mata bagi memfokuskan kepada amalan ibadah khususiah.

Di kemuncak Ramadan ini, kita digalakkan untuk meningkatkan segala amalan ibadah dengan lebih kuat berbanding sebelum ini. Digandakan segala usaha dengan menjadikan tempoh ini sebagai ruangan terbaik mengamalkan segala ilmu yang dimiliki bagi mendapatkan ganjaran sepuluh akhir Ramadan dan juga lailatul qadar.

Di ruangan ini juga ukhuwah sesama Muslim perlu ditingkatkan. Amalan bersedekah amat dialu-alukan di mana ia mampu mengeratkan silaturahim dan juga meringankan bebanan. Pada masa sama ia melahirkan rasa kasih sayang dan cintai mencintai dengan menghilangkan prasangka dan prejudis sesama kita.

Dengan mantapnya ukhuwah maka kita akan menjadi umat terbaik. Cemuhan dan kebencian akan larut dan dinafikan begitu sahaja hasil daripada ketumpatan kasih sayang dan cintai mencintai sesama kita.Umat akan menjadi kuat kerana kesepakatan dan mungkin diuji kerana perpecahan.

Amalan membaca dan mentadabbur al-Quran adalah antara amalan yang kuat dituntut di sepanjang tempoh ini. Bacaan tanpa memahami makna dan maksud turut diberikan ganjaran oleh ALLAH Azzawajalla. Maka bacaan yang dibuat secara tadabbur dengan memerhatikan segala makna dan maksud sudah semestinya diberikan lebih ganjaran.

Al-Quran adalah sebuah karya Agung bukan dihasilkan daripada bumi ini bahkan diwahyukan ALLAH Azzawajalla dari luar kerangka bumi untuk dimanfaatkan oleh insan di bumi ini. Ia adalah mukjizat Agung yang kekalnya hingga zaman ini dan hingga pengakhiran. Setiap huruf dan kalimah di dalamnya akan dijaga ALLAH Azzawajalla tidak kira bila dan di mana.

Al-Quran adalah sumber penyatuan. Setiap Muslim dan Mukmin akan membaca dan mentadabbur kitab ini tanpa wujudnya versi-versi berlainan sungguhpun terdapat pelbagai mazhab dan pandangan dalam sesuatu perkara. Perbezaan ini tidak mewujudkan al-Quran berlainan kerana al-Quran adalah sumber rujukan bagi umat Islam. Ia adalah satu-satunya sumber rujukan utama kepada umat ini dan menjadi pemangkin kepada kesatuan umat ini.

Artikel Berkaitan:

Sungguhpun pelbagai tohmahan dilemparkan kepada umat Islam sebagai tidak bersatu padu dan berpecah belah, namun hakikatnya Islam adalah sebuah agama yang mampu menyatukan umatnya dalam satu saf dengan jumlah makmum mencecah jutaan orang dengan tempoh tidak sampai lima minit selepas seruan iqamat pada setiap kali waktu solat.

Sesungguhnya, Islam adalah agama kesatuan. Umatnya sebenar adalah bersatu pada banyak perkara. Kita bersatu pada menyatakan ke’Esa’an ALLAH Azzawajalla, kita bersatu kepada sumber rujukan iaitu al-Quran, kita juga bersatu pada arah kiblat yang sama dan banyak lagi perkara kesatuan yang kita miliki. Tetapi yang banyak di ketengahkan ialah perbezaan-perbezaan kecil pada perkara furu’ yang bukan menjadi dasar dan teras kepada agama ini.

Amalan berdoa, bermunajat, dan berzikir adalah antara amalan-amalan yang perlu diperkuatkan di dalam tempoh kemuncak ini. Ia akan meningkatkan kebergantungan kita kepada Pencipta Yang Maha Agung dengan memurnikan akidah serta meningkatkan keyakinan.

Amalan-amalan ini adalah bersifat eksklusif kepada kaum Muslimin semata-mata kerana ia melibatkan perhubungan manusia dengan Penciptanya. Natijah daripada perhubungan ini akan melahirkan insan tawaduk dan khudu’ kepada ALAH Azzawajalla. Akidah menjadi lebih murni dan jelas dengan tidak sewenang-wenangnya menyamakan agama ini dengan agama-agama yang lain.Setiap Muslim dan Mukmin akan membaca dan mentadabbur kitab ini tanpa wujudnya versi-versi berlainan sungguhpun terdapat pelbagai mazhab dan pandangan dalam sesuatu perkara."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!