Andainya pahala itu wang ringgit

A
A
A
SAYA berpeluang mendengar tazkirah mengenai lailatul qadar daripada penceramah terkenal Ustaz Halim Hafidz yang kini menjadi host di RTM1 dalam rancangan Ustaz Biker. Tazkirah yang disampaikan setelah solat tarawih malam 22 Ramadan di surau Al-Ihsan Alam Nusantara itu, ringkas tetapi efektif.

Ia juga berkesan untuk saya. Kerana itu saya memetik sedikit kata-kata beliau untuk saya jadikan status saya pada jam 12.00 malam itu juga. Hasilnya, saya mendapat lebih 300 likes dan jumlahnya masih bertambah hingga di saat saya sedang menulis artikel ini.

Sebelum saya meneruskan, di sini saya turunkan kapsyen yang saya susun dari kata-kata Ustaz Halim. Statusnya berbunyi: ‘Ramai yang seronok bila majikan beri bonus 3 bulan! Tapi ada yang tak berapa nak kisah bila ALLAH beri bonus 1,000 bulan!’

Baru-baru ini beberapa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mengumumkan kadar bonus kepada kakitangan masing-masing. Khabarnya, ada juga syarikat swasta memberi bonus hari raya kepada kakitangan mereka.

Kita pernah dengar dan tahu banyak badan korporat termasuk bank-bank yang memberikan jumlah bonus lebih daripada tiga bulan. Malah ada yang memberi melebihi 10 bulan bonus ketika ekonomi dalam keadaan baik.

Kalau pun kita bukan di antara mereka yang mendapat bonus, kita juga tumpang gembira dengan mereka yang menerimanya. Kita dapat bayangkan betapa seronoknya berbelanja, bersedekah, menyimpan dan melabur dengan wang yang diperolehi.

Kita seronok kerana kita dapat bayangkan betapa banyaknya jumlah yang diterima. Bonus tiga bulan, misalnya ialah pendapatan tiga kali ganda daripada gaji sebulan. Jika gaji seseorang itu RM1,000 sebulan, tiga bulan bererti RM3,000.

Bagaimana pula jika pahala ibadah pada malam lailatul qadar itu menyamai 1,000 bulan? Ah, lagi banyak! Terlalu banyak hingga otak kita tak dapat hendak bayangkan. Apabila otak kita tidak dapat bayangkan, maka kita tak terasa akan kehebatan 1,000 bulan itu.

Tetapi, Ustaz Halim telah menggunakan istilah bonus! Bila ia diistilahkan sebagai bonus, maka minda kita mengasosiasikan bonus dengan duit.
Artikel Berkaitan:


Pahala beribadah 1,000 bulan itu diistilahkan sebagai ‘bonus ibadah 1,000 bulan!’ Jadi, jika sebulan gaji bersamaan dengan RM1,000, bonus seribu bulan pula bermakna RM1,000 darab 1,000 menjadikan jumlahnya RM1,000,000!Wah! Kita jadi jutawan pahala andainya kita dapat beribadah tepat pada malam lailatul qadar. Inilah yang menguja mereka yang membaca status yang saya muat naik pada malam itu.

Saya kira, para ustaz yang mahir matematik patut mentafsir dan menyelitkan ilmu matematik di dalam penyampaian mereka agar khalayak pada hari ini lebih memahami. Matematik di dalam urusan agama seharusnya bukan sekadar digunakan dalam urusan muamalat, zakat dan juga faraid.

Malah banyak hal-hal pahala dalam beribadah itu ada menyebut angka-angka. Sekiranya angka-angka itu dapat dikupas dalam bahasa orang sekarang, maka ia mudah dihayati kita. Misalnya, solat berjemaah itu memberi lebih 27 ganjaran pahala berbanding dengan bersolat sendirian yang hanya punyai satu ganjaran pahala.

Satu adalah 3.7 peratus daripada 27. Dalam sehari, seseorang yang bersolat lima waktu sendirian hanya memperoleh lima ganjaran pahala berbanding 135 ganjaran pahala jika bersolat berjemaah.

Maknanya dalam sebulan, seseorang yang bersolat sendirian hanya memperoleh lima waktu didarab 30 hari iaitu 150 ganjaran pahala. Berbanding dengan mereka yang bersolat secara berjemaah, dalam sebulan seseorang itu memperoleh lima waktu didarab 30 hari dan didarab dengan 27 ganjaran pahala.

Justeru, seseorang yang bersolat berjemaah akan memperoleh 4,050 ganjaran pahala sebulan berbanding dengan hanya 150 pahala apabila bersolat sendirian. Bila diterjemahkan dalam bentuk mata wang, kita diumpamakan memperoleh RM150 jika bersolat sendirian berbanding dengan RM4,050 seandainya bersolat berjemaah.

Jika kita tafsirkan pahala bersedekah yang pahalanya umpama sebutir benih yang tumbuh tujuh tangkai dan pada setiap tangkai itu mempunyai 100 biji, ertinya sedekah yang kecil itu boleh berganda kepada 700 pahala.

Bila ditafsirkan kepada ringgit, ia menjadi sebuah pelaburan bernilai RM1 yang boleh mendapat dividen hingga RM700!

Saya tidak berniat agar kita begitu berkira-kira dengan pahala. Tetapi, andainya dikupas dengan baik oleh para ilmuwan agama yang lebih arif dalam penyampaiannya inilah bahasa mudah yang senang difahami oleh masyarakat pada hari ini.

Maaf cakaplah...kita manusia yang semakin materialistik. Hanya bahasa ringgit dan sen akan lebih menguja kita meskipun untuk tujuan beribadah!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!