Lengan pelajar dicop akibat tidak bayar yuran
PUNJAB - Pegawai pendidikan di daerah Punjab dilaporkan menyiasat kes sebuah sekolah swasta yang mengecop lengan seorang pelajarnya yang tidak membayar yuran.
Menurut keluarga pelajar lelaki berusia 13 tahun itu, anaknya enggan pergi ke sekolah gara-gara insiden tersebut.
Pengetua sekolah swasta di bandar Ludhiana itu mengakui insiden tersebut namun mendakwa lengan pelajar berkenaan dicop kerana terlupa membawa buku nota.
Menurutnya, tindakan guru pelajar terbabit adalah salah walaupun cop itu boleh dipadam.
Dalam pada itu, pihak sekolah berkata, keluarga pelajar terbabit telah dua bulan tidak membayar yuran dan tidak mempedulikan notis menuntut bayaran.
"Ini cara yang tidak betul untuk meminta bayaran yuran," kata ayah pelajar terbabit yang merupakan seorang pemandu 'auto-rickshaw'.
Dia yang mendakwa telah meminta sedikit masa bagi menjelaskan yuran sekolah anaknya berkata, seluruh keluarganya berasa dimalukan akibat insiden itu.
Sementara itu, pegawai pendidikan daerah Punjab, Swarnjeet Kaur berkata, tindakan sekolah terbabit adalah salah dan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab. - BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!