Ketam lembut beri hasil lumayan kepada bekas nelayan
SANDAKAN - Berjaga sepanjang malam, antara pengorbanan yang terpaksa dihadapi seorang bekas nelayan bagi memastikan kualiti terbaik ketam lembut yang diusahakannya, namun penat lelah itu berbaloi dengan hasil lumayan yang diperoleh.
Suhaili Abdurahman, 39, yang mengusahakan penternakan ketam lembut di Kampung Bambangan dekat sini berkata waktu malam sehingga awal pagi, merupakan masa yang sesuai untuk mengutip ketam lembut, yang merupakan daripada jenis ketam bakau atau nipah, kerana pada waktu itu, ketam akan menanggalkan cengkerangnya dan meninggalkan permukaan lembut.
"Proses ketam menanggalkan cengkerang mengambil masa 17-29 hari.
"Ketika ini, selepas ketam menanggalkan cengkerangnya, ketam perlu dikutip dalam tempoh dua jam sebelum cengkerang baharu mula mengeras," katanya ketika ditemui di sini.
Suhaili bertekad untuk menjadikan usaha penternakan ketam lembut, sebagai kerjayanya kerana yakin usaha itu berupaya mengubah kehidupan diri dan keluarganya.
"Saya akui bukan mudah untuk menternak ketam lembut kerana selain berjaga malam, kita perlu pastikan sangkar ketam sentiasa dalam keadaan bersih.
"Bagaimanapun, saya bersyukur ketabahan dalam menjalankan penternakan ini telah membolehkan saya meraih pendapatan sehingga RM7,500 sebulan selepas lima tahun dalam bidang ini," katanya.
Lahir daripada keluarga nelayan, Suhaili sedar beliau mahukan pekerjaan yang tidak memisahkannya daripada cintanya terhadap laut.
Namun, bapa kepada tiga anak itu kurang yakin, bekerja sebagai nelayan secara sepenuh masa, dapat menjanjikannya kehidupan yang lebih selesa.
"Saya menggunakan internet mencari idea kerja yang mempunyai kaitan dengan laut, dan menemui aktiviti penternakan ketam lembut.
"Selain mempelajari lebih lanjut mengenai penternakan ketam lembut di internet, saya juga berpeluang melawat ladang seorang kawan yang juga menjalankan penternakan ketam lembut," katanya.
Suhaili berkata beliau menternak kira-kira 500 ketam untuk ketam lembut, dan menjual antara 200-500 kg ketam lembut sebulan kepada pemborong dan restoran makanan laut di sekitar Sandakan.
Kejayaannya itu turut mendapat pengiktirafan Jabatan Perikanan Sabah dan merupakan antara Penternak Ladang Akuakultur Contoh (PLAC).- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!