MBJB keluar 56 kompaun 20 bazar Ramadan
JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengeluarkan 56 kompaun berjumlah RM14,000 kepada pengendali makanan di 20 bazar Ramadan sepanjang bulan ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A.Rahman berkata, masih ada kesalahan berulang yang dikesan dilakukan peniaga dalam pemeriksaan kebersihan tersebut.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan termasuklah tidak mengambil suntikan typhoid, tidak menjaga kekemasan serta penggunaan polisterina sebagai pembungkus makanan.
"Terdapat peniaga yang tidak mengambil suntikan typhoid di mana hanya pemilik lesen atau penjaja ambil suntikan tetapi pekerja gerai tidak ambil suntikan.
"Ini menunjukkan ada segelintir yang culas atau sengaja tidak mahu ambil suntikan atas alasan tambahan kos dan sebagainya.
"Suntikan ini amat penting bagi mengelakkan kejadian wabak keracunan makanan," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Bilangan 5 Tahun 2019, di sini hari ini.
Kompaun dikeluarkan atas kesalahan Undang-Undang Kecil 20 (1) (ii), Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MBJB 2010 di mana pengendali makanan tidak mendapatkan atau mempamerkan buku suntikan typhoid semasa pemeriksaan dijalankan.
Selain itu, katanya peniaga turut dikesan masih menggunakan polistetina dengan memberi alasan tidak tahu tentang larangan penggunaannya.
"Kita juga kesan masih terdapat peniaga yang menggunakan polisterina sebagai pembungkus makanan.
"Mereka memberi alasan tidak maklum tentang larangan penggunaan polisterina serta tidak jelas tentang larangan memandangkan ia masih dijual," katanya.
Katanya lagi, ada juga peniaga dan pembantunya yang tidak menjaga kekemasan imej dengan memakai topi serta apron seperti dimaklumkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!