MCCF cadang kemasukan pelancong melalui sistem bersepadu
SHAH ALAM - Kemasukan pelancong ke negara ini perlu melalui satu sistem bersepadu membabitkan semua agensi berkaitan dan perlu bertegas dalam memastikan mereka meninggalkan negara ini mengikut tempoh ditetapkan.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, Malaysia perlu contohi pendekatan dan tindakan tegas negara-negara lain yang tidak berkompromi di dalam soal kemasukan warga asing ke negara mereka melalui saluran yang tidak sah.
“Adalah lebih baik pencegahan awal dilakukan dan tidak ada gunanya untuk mempertingkat kemasukan pelancong jika perkara-perkara yang boleh membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara tidak diambil kira bersama.
“MCCF juga menyokong gesaan kepada kerajaan untuk mengkaji semula kelonggaran syarat kemasukan kepada pelancong dari China dan India ke negara ini.
“Kelonggaran visa yang dilakukan kerajaan kepada pelancong dari dua negara tersebut mampu menggugat kedaulatan dan keselamatan negara daripada aspek sosial dan kemasyarakatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, sepatutnya kemasukan pelancong ke negara ini perlu dilayan secara sama rata tanpa memberikan kelonggaran atau keutamaan kepada negara-negara tertentu.
“MCCF telah menjalankan kajian selama empat tahun berkaitan isu lambakan warga asing di negara ini dan banyak isu timbul bila lambakan warga asing ini tidak dipantau dan diurus dengan betul.
“Kebanjiran mereka bukan sahaja membimbangkan komuniti di negara ini yang mula merasa terancam berikutan meningkatnya kes jenayah dan gejala sosial membabitkan warga asing tetapi juga di masa depan boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Dalam pada itu Halim berkata, berdasarkan statistik kemasukan pelancong dari China seperti yang dibangkitkan oleh Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman di mana pada 2005, negara mencatat kemasukan pelancong dari China seramai setengah juta tetapi hanya 315,000 sahaja direkod keluar.
“Di mana lagi 185,000 yang sehingga hari ini masih gagal dikesan. Keadaan ini sudah cukup membimbangkan sekali gus meningkatkan lagi jumlah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!