'Serah tugas Presiden: Ada hikmahnya...'

Mohd Hairi Md Shah
Mohd Hairi Md Shah
A
A
A
JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Johor menyambut baik keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, keputusan tersebut bukan mudah dan hanya dilakukan seseorang yang berjiwa besar.

"Bagi Pemuda Umno Johor, semua keputusan yang dibuat ada hikmahnya dan apa yang penting adalah bagaimana parti keramat ini dapat terus belayar pada hari esok, lusa dan 100 tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hairi berkata, Pemuda Umno Johor juga menyambut baik keputusan melantik Mohamad bagi menjalankan tugas presiden parti berkuat kuasa serta merta.

"Apa yang penting, dengan keputusan ini Pemuda Umno Johor harap tiada lagi isu hala tuju dan 'aktiviti' melompat parti pada semua Ahli Parlimen.

"Tiada lagi istilah menyalahkan sesiapa selepas ini dan diharapkan semua kepimpinan parti dapat terus menyusun atur gerakan memulihkan semula kepercayaan akar umbi dan mengukuhkan semula parti keramat ini," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno Johor turut menggesa Mohamad menyusun gerak kerja parti bermula hari ini, bagi membolehkan jentera di bawah dapat melihat kesinambungan parti dengan lebih jelas.

"Apa yang berlaku hari ini diharap menjadi pengajaran berguna buat demua di peringkat pucuk pimpinan sehingga ke akar umbi dalam usaha menjadikan Umno terus relevan dan tidak hilang di tanah air ini.

"Bagi mereka yang sudah meninggalkan parti, selamat jalan dan berjuanglah kalian mencari impian yang diidamkan bersama parti baharu, bagi yang terdetik untuk 'melompat' ke sebelah sana, fikirlah sedalam-dalamnya agar kelak tidak merana diri," katanya.
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!